KUALA LUMPUR – Seramai 11, 057 orang calon berdaftar untuk menduduki Sijil Pelajaran Malaysia Ulangan pada tahun ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Kementerian Pendidikan berkata, peperiksaan SPM Ulangan akan bermula pada 25 Jun hingga 27 Jun ini.

Sebanyak 213 pusat peperiksaan yang akan beroperasi bagi tujuan itu di seluruh negara.

“Seramai 1,649 petugas peperiksaan telah dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar,” kata kenyataan tersebut.

Tiga mata pelajaran yang ditawarkan dalam peperiksaan SPM Ulangan iaitu Bahasa Melayu, Sejarah dan Matematik.

Lembaga Peperiksaan mengingatkan semua calon agar merujuk kepada jadual waktu peperiksaan untuk maklumat mengenai masa peperiksaan serta araha dan amaran yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

Jadual waktu peperiksaan boleh dimuat turun daripada laman web Lembaga Peperiksaan di alamat lp.moe.gov.my.

Calon juga diingatkan supaya membawa kad pengenalan masing-masing ke pusat peperiksaan bagi memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar. – MalaysiaGazette