Naib Presiden UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO merangkap Calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin (kiri), turut sama Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil (tengah) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 20 JUN 2018.
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan , Khairy Jamaluddin (kiri). foto FAREEZ FADZIL, 20 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Calon Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menasihatkan agar semua calon yang bertanding pada jawatan tertinggi parti itu agar tidak bertelagah sesama sendiri.

Beliau yang kini menjalankan tugas-tugas sebagai Presiden UMNO berkata sekiranya bertemu dengan Tengku Razaleigh, mereka sepatutnya berpelukan.

“Jangan bertingkahlah, kalau jumpa Ku Li (Tengku Razaleigh) kita peluk,” katanya kepada Khairy Jamaluddin.

Ahmad Zahid sebelum itu dilihat bermesra dengan KJ pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri anjuran Wanita UMNO di Dewan Tun Hussein Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Ahmad Zahid, KJ dan Ku Li merupakan tiga calon yang akan merebut jawatan Presiden UMNO selain empat lagi calon.

Antaranya penulis blog Rahmat Azim Abdul Aziz, Rosile Saat dari UMNO Bangi, Mohamed Iqbal Maricair dari UMNO Bandar Tun Razak, dan Mohd Yusof Musa @Jamaluddin dari UMNO Iskandar Puteri. -MalaysiaGazette