masa depan Thiago di Bundesliga tidak selamat
Thiago Alcantara diburu Barcelona dan Real Madrid musim ini

SEPANYOL-Dua kelab bola sepak gergasi Sepanyol berdepan satu lawan satu untuk mendapatkan khidmat Thiago Alcantara musim ini.

Bintang antarabangsa Sepanyol itu kini dalam tugas bersama skuad kebangsaan mengharungi Rusia 2018.

Alcantara bersama Bayern Munich selama lima musim setelah meninggalkan Barcelona pada 2013 dengan nilai perpindahan sebanyak £22 juta (RM117 juta).

Kini kelab itu berhasrat untuk membawa pulang pemain itu ke Nou Camp.

Bagaimanapun, misi itu tidak semudah yang disangkakan Barcelona.

Ini kerana, kelab gergasi Bundesliga Jerman, Bayern berkata, pihaknya hanya akan melayan sebarang tawaran lumayan melebih £60 juta (RM319 juta) untuk Alcantara.

Real Madrid juga sudah menyatakan hasrat untuk mendapatkan pemain itu dan sedang bersaing dengan Barcelona untuk khidmat Alcantara.

Real Madrid sedang dalam proses menggantikan Mateo Kovacic yang menyatakan secara terbuka mahu meninggalkan Santiago Bernabeu musim ini.

Bos baharu Real, Julen Lopetegui mahu menggandingkan Alcantara dengan Luka Modric dan Toni Kroos di jentera tengah.

Kehadiran Corentin Tolisso dan Leon Goretzka musim hadapan ke Allianz Arena mencetuskan persoalan terhadap masa depan Alcantara bersama kelab Bundesliga itu.

Real Madrid dilihat kelab paling sesuai untuk pemain itu dijamin beraksi dalam kesebelasan utama lebih kerap. – MalaysiaGazette