Mahathir Mohamad
Dr Mahathir Mohamad

PETALING JAYA – Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan tindakan Menteri Kewangan mengeluarkan kenyatan media rasmi dalam bahasa Mandarin hanyalah kesilapan kecil.

Sambil mempertahankan menteri kanannya itu, beliau berkata, Guan Eng telah melakukan kesilapan yang tidak disengajakan.

“Ia adalah kesilapan kecil dan saya tidak mahu menjadikannya satu isu. Kadang-kadang kita buat silap.

“Saya fikir tiga bahasa untuk masyarakat Cina yang perlu dalam bahasa Mandarin.

“Kita bukan hendak nasihat, beliau tersilap, bukan sengaja, beliau boleh buat kenyataan itu bila beliau ada kuasa. Bila Bank Negara buat pengumuman yang dikeluarkan oleh Guan Eng, itulah yang beliau lakukan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media PPBM di Menara Yayasan Selangor di sini hari ini.

Turut hadir, Presiden PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Besar Johor, Datuk Osman Sapian.

Mahathir diminta mengulas tindakan Guan Eng hari ini yang mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange pada Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Facebook yang dikeluarkan Gua Eng malam semalam untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Cina.

Tindakan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP mendapat kecaman ramai ahli pembangkang, parti UMNO dan pertubuhan bukan kerajaan. – MalaysiaGazette