Nasruddin Hassan Tantawi
Nasruddin Hassan

KUALA LUMPUR – Pas menyifatkan langkah Lim Guan Eng yang menggunakan bahasa Mandarin dalam kenyataan media kerajaan sebagai merosakkan identiti negara dan mewujudkan perkembangan tidak sihat kepada masyarakat di Malaysia.

Ketua Penerangannya, Nasruddin Hassan Tantawi membidas Guan Eng yang juga Menteri Kewangan kerana tidak menggunakan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi kerajaan susulan kontroversi kenyataan media Kementerian Kewangan dalam bahasa Mandarin pada Khamis yang mendapat cemuhan pelbagai pihak.

“Bahasa Kebangsaan juga antara mekanisme perpaduan rakyat dalam negara ini. Gunalah bahasa kebangsaan khasnya dalam urusan rasmi. 

“Menidakkan bahasa kebangsaan dalam urusan rasmi bakal merosakkan identiti negara dan ini adalah satu perkembangan yang sangat tidak sihat malah mengundang pertelingkahan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya, tindakan mempertahankan penggunaan bahasa kebangsaan tidak bermakna bukan perkauman atau tujuan mendiskriminasi bahasa lain kerana jelas ia merupakan identiti negara.

“Mempertahankan bahasa kebangsaan bukan rasis, jauh sekali merendahkan bahasa lain. Justeru ia adalah identiti negara,” ujarnya lagi.

Guan Eng mempertahankan tindakannya mengeluarkan kenyataan dalam tiga bahasa – Melayu, Inggeris dan Cina – ketika membincangkan isu Tun Razak Exchange, Khamis lalu.

Bagaimanapun, kenyataan Facebook yang dikeluarkannya malam semalam untuk mempertahankan kenyataan tiga bahasa itu dikeluarkan hanya dalam bahasa Cina. – MalaysiaGazette