Ahmad Zahid Hamidi
Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mempertahankan wang milik UMNO adalah sah dan tidak dimiliki secara pengubahan wang haram, ia susulan langkah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membekukan akaun bank parti itu.

Timbalan Presiden UMNO yang menjalankan tugas Presiden itu berkata, mereka akan memberi kerjasama sepenuhnya berhubung siasatan badan pencegahan rasuah tersebut.

“UMNO akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada SPRM berhubung tindakan suruhanjaya itu  membekukan akaun bank ibu pejabat UMNO dan akaun lain.

“Sebagai Pemangku Presiden, saya berusaha membuktikan bahawa wang milik UMNO adalah sah dan tidak terbabit dalam sebarang kegiatan pengubahan wang haram,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau juga membidas sebarang tindakan oleh kerajaan yang cuba membuat tekanan politik terhadap parti tersebut.

“Selagi memimpin UMNO, saya akan menentang dan tidak akan membenarkan mana-mana pihak membuat ugutan dan melakukan diskriminasi terhadap UMNO.

“Ugutan dan penderaan politik bukan cara untuk mentadbir negara oleh mana-mana kerajaan di sebuah negara demokrasi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menggesa penyokong parti supaya mempertahankan parti tersebut daripada sebarang usaha untuk melumpuhkannya.

“Saya berharap semua ahli UMNO akan bersama-sama saya untuk memastikan UMNO terus wujud dan menentang sebarang usaha melumpuhkannya,” katanya.

Awal hari ini, Ahmad Zahid mendakwa SPRM sudah membekukan akaun ibu pejabat UMNO dan Selangor, kemungkinan langkah itu akan diambil di beberapa negeri lain. – MalaysiaGazette