Anthony Loke
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berucap pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Airport Coach Ke-20 di Hotel Sama-Sama KLIA, Sepang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 28 JUN 2018.

SEPANG – Kerajaan mengekalkan pendirian tidak melarang atau mengharamkan perkhidmatan e-hailing atau perkhidmatan tempahan teksi secara dalam talian walaupun mendapat tekanan daripada persatuan-persatuan pemandu teksi.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, kerajaan sedar desakan pihak persatuan yang mahu e-hailing diharamkan bagaimanapun ia tidak boleh dilaksanakan kerana kepentingan orang ramai juga perlu diambil kira, bukan sahaja kepentingan pemandu teksi.

“Lepas ini kita akan berjumpa dengan persatuan-persatuan pemandu teksi, tapi kita tahu mereka mahu kita melarang mana-mana syarikat e-hailing daripada beroperasi, mereka mahu kita larang semua syarikat e-hailing ini yang kita seperti saya katakan pendirian kerajaan kita tidak akan melarang atau pun larang semua e-hailing.

“Ini semua kita kena imbangkan kepentingan pemandu teksi dan kepentingan orang ramai, jadi perlu ada keseimbangan kerana kita tak boleh memihak kepada satu pihak sahaja,” kata beliau dalam sidang media di KLIA hari ini.

Loke berkata, jika mereka mengharamkan khidmat e-hailing, ia hanya akan memuaskan hati pemandu teksi tapi tidak kepada orang ramai kerana tidak berpuas hati dengan mutu dan kualiti perkhidmatan teksi di Malaysia.

“Kalau kita haramkan, memang pemandu teksi akan gembira, mereka akan menyokong tapi orang ramai akan mengadu.

“Jadi saya akan mendengar pandangan semua pihak, orang ramai juga mengatakan bahawa mereka tidak puas hati dengan perkhidmatan pemandu teksi,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan kerajaan juga akan meletak beberapa syarat kepada syarikat e-hailing bertujuan untuk memastikan pemandu teksi dapat bersaing dengan mereka.

“Kita faham memang ada masalah di kalangan pemandu teksi mereka tidak dapat bersaing kerana kelonggaran terlalu banyak, maka kita akan meletak beberapa syarat kepada e-hailing,” katanya. – MalaysiaGazette