KUALA LUMPUR- Permodalan Nasional Bhd. (PNB) mengumumkan persaraan Pengerusinya, Tan Sri Abdul Wahid Omar berkuatkuasa esok.

Tempat beliau akan digantikan dengan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz mulai 1 Julai ini.

“Lembaga Pengarah PNB mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Tan Sri Abdul Wahid atas sumbangan yang tidak ternilai dan khidmat penuh dedikasi sebagai Pengerusi Kumpulan PNB,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selepas dilantik menjawat jawatan tersebut sejak Ogos 2016, Wahid telah menggariskan pelan strategik PNB bagi tempoh 2017-2022 yang lebih dikenali sebagai STRIVE-15 dengan matlamat untuk menjadikan entiti itu sebagai sebuah firma pelaburan bertaraf dunia.

Lembaga Pengarah turut mengumumkan persaraan Datuk Dr. Awang Adek Hussin sebagai ahli lembaga pengarah PNB dan Pengerusi PNB Research Institute Sdn. Bhd. berkuatkuasa esok.

Dalam perkembangan yang sama, Yayasan Pelaburan Bumiputera (YPB) yang merupakan syarikat induk PNB turut mengumumkan Menteri Kewangan Diperbadankan telah memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad mengambil alih jawatan Pengerusi YPB berkuatkuasa semalam.

Jawatan tersebut sebelum ini dipegang oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Susulan itu menurut YPB, komposisi Lembaga Pemegang Amanah YPB telah diubah merangkumi Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali (Pengerusi Alternatif YPB), Zeti dan Bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Ambrin Buang.- MalaysiaGazette