Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki hadir pada sidang media mengenai pengenalan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto: IQBAL BASRI, 01 JULAI 2018.
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki hadir pada sidang media mengenai pengenalan kepimpinan tertinggi UMNO yang baharu di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra, Kuala Lumpur. foto: IQBAL BASRI, 01 JULAI 2018.

KUALA LUMPUR – Tindakan Bekas Ketua Puteri UMNO, Datuk Mas Ermieyati Samsudin meninggalkan parti itu diselar Ketua Pergerakan Pemuda UMNO yang mnyifatkannya sebagai mementingkan diri.

Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, sekalipun mewakili parti pembangkang, wakil rakyat sepatutnya menggalas tanggungjawab yang berat untuk menyemak imbang tugas kerajaan yang sedang mentadbir negara.

“Kalau parti sudah menjadi pembangkang, rakyat memerlukan kita menjadi pembangkang yang berwibawa kerana apa-apa pun, kita jadi pembangkang kita harus jadi pengimbang untuk kerajaan

“Jadi pengimbang kepada kerajaan adalah mewakili suara rakyat.

“Jadi peranan pembangkang sentiasa mewakili rakyat menjadi pengimbang dan memperbetulkan mana yang silap bagi kepentingan rakyat

“Sebab itu bagi saya ahli-ahli Parlimen jangan mementingkan diri sendiri apa-apa pun dapat memikirkan kepentingan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui MalaysiaGazette selepas sidang media Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di Menara Dato’ Onn hari ini.

Jelas beliau, tugas ‘semak dan imbang’ oleh pembangkang juga adalah salah satu khidmat yang boleh dilakukan oleh wakil rakyat.

Justeru, Ashraf mengharap mana-mana ahli UMNO yang masih menjadi Ahli Parlimen untuk kekal dalam parti untuk memperjuangkan rakyat.

“Saya mengharapkan mana-mana ahli Parlimen selepas daripada ini pun pertimbangkan semasak-masaknya kerana rakyat memilih kita berasaskan parti,” katanya.

Mas Ermieyati meninggalkan parti kerana mendajwa kepemimpinan sedia ada masih enggan menerima kenyataan bahawa rakyat sudah menolak parti itu, sebaliknya beranggapan UMNO hanya mangsa kebencian terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) semata-mata. -MalaysiaGazette