Ahmad Zahid Hamidi
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan UMNO atau mana-mana komponen Barisan Nasional tidak akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil Port Dickson yang akan berlangsung pada 13 Oktober ini.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan akan hadir ke Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) esok bagi memberi keterangan berhubung dakwaan penyalahgunaan dana sebuah yayasan.

Ahmad Zahid yang tidak menyatakan masa kehadirannya itu berkata, beliau akan memberi kerjasama kepada suruhanjaya tersebut.

“Saya akan beri kerjasama penuh dengan SPRM.  

“Saya perjelaskan selepas keterangan saya berikan esok di SPRM,” katanya pada sidang media di Menara Datuk Onn hari ini.

Ahmad Zahid berkata, yayasan milik keluarganya itu beroperasi untuk aktiviti kebajikan seperti pembinaan masjid dan mahad tahfiz dengan sumber kewangan diperoleh daripada dirinya sendiri selain sumbangan derma daripada rakan-rakan.

“Saya ingin menyatakan saya telah diminta membuat penjelasan terhadap beberapa isu pertamanya sebagaimana yang telah tersiar di media bahawa keterangan yang saya akan berikan mengenai sebuah yayasan yang dipunyai oleh keluarga saya sendiri.

“Tujuannya untuk melakukan amal jariah pembinaan masjid, mahad tahfiz dan beberapa aktiviti kebajikan yang lain bagi mengikut hukum syariah seperti sedekah, infak dan lain dan wang yang terdapat dalam yayasan itu datang dari sumbangan saya sendiri dan beberapa kawan yang mahu melakukan amal jariah,” jelasnya.

Laporan portal bahasa Inggeris menyatakan Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan tersebut dan rekod menunjukkan yayasan itu didaftarkan pada tahun 1997 dan peranannya menerima dan mentadbir dana bagi membasmi kemiskinan.

Bekas timbalan perdana menteri itu akan diminta menjelaskan dakwaan berhubung penggunaan dana dari yayasan tersebut yang digunakan untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri beliau berjumlah RM800,000.

SPRM juga akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ditanya mengenai pembekuan akaun UMNO, Ahmad Zahid berkata, parti itu telah menyerahkan surat kepada SPRM agar membuat kelonggaran memulangkan wang tersebut untuk kegunaan pembayaran gaji kakitangan dan sewaan. 

“Bagi menentukan agar pegawai dan kakitangan bergaji tidak dizalimi kerana mereka mempunyai keluarga dan tentunya pihak SPRM akan menggunakan kaedah-kaedah perundangan yang sedia ada untuk memberikan kelonggaran ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette