Ahmad Zahid Hamidi
Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. foto AFIQ RAZALI, 23 JUN 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi akan dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia esok bagi membantu siasatan berhubung penggunaan dana sebuah yayasan.

SPRM juga akan mengambil kenyataan mengenai pertemuan Ahmad Zahid dengan ahli keluarga diraja Arab Saudi yang dikatakan mendermakan wang kepada bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memetik laporan The Star Online, bekas timbalan perdana menteri itu akan diminta menjelaskan dakwaan berhubung penggunaan dana dari yayasan tersebut yang digunakan untuk membayar kad kredit miliknya dan isteri beliau berjumlah RM800,000.

Ahmad Zahid adalah pengerusi yayasan tersebut dan rekod menunjukkan yayasan itu didaftarkan pada tahun 1997 dan peranannya menerima dan mentadbir dana bagi membasmi kemiskinan.

“Kami mahu mengetahui tentang dakwaan Ahmad Zahid menggunakan dana dari yayasan itu untuk kegunaan peribadi,” kata sumber kepada The Star.

Difahamkan, terdapat beberapa dokumen yang menunjukkan transaksi pembayaran telah digunakan untuknya dan isteri beliau.

“Penyiasat juga akan mengambil keterangan tentang kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Zahid berhubung pertemuannya dengan putera Arab Saudi.

“Kami ingin mengetahui lebih lanjut tentang individu tersebut yang dikatakannya telah ditemui oleh Ahmad Zahid dan apa yang berlaku semasa pertemuan itu, “kata seorang sumber.

Pada 22 Ogos 2015, Ahmad Zahi ketika berucap pada pembukaan mesyuarat Bahagian UMNO Sri Gading, mengakui telah bertemu dengan putera Arab Saudi yang menyumbangkan sebanyak AS$700 juta yang disalurkan ke dalam akaun peribadi Najib.

Beliau berkata, keluarga yang tidak dikenali itu telah mendermakan wang tersebut kerana komitmen Malaysia dalam memerangi keganasan dan menjadi negara Islam yang sederhana.

SPRM tidak dapat dihubungi bagi pengesahan mengenai pertemuan esok. – MalaysiaGazette