Lim Guan Eng
Lim Guan Eng.

KUALA LUMPUR – Kos Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) menelan kos sebanyak RM81 bilion.

Jumlah itu tidak termasuk deposit kos operasi yang tidak dapat ditentukan buat masa ini.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, kos asas pembinaan landasan keretapi sepanjang 688.3 kilometer itu sahaja berjumlah RM66.78 bilion.

alt Jad1

Walau bagaimanapun, jumlah kos projek ECRL adalah RM80.92 bilion selepas
mengambil kira kos pengambilalihan tanah, faedah, yuran dan kos operasi lain.

alt Jad2

Katanya, projek ECRL telah diluluskan oleh Kabinet pada 21 Oktober dan Perjanjian Kejuruteraaan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan kemudiannya telah ditandatangani dengan China Communication Construction Company (CCCC) pada 1 November 2016.

Sehingga kini, Kerajaan Malaysia, menerusi anak syarikat operasi miliknya,
Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), telah membayar kepada CCCC sejumlah RM19.68 bilion.

Jumlah RM19.68 bilion ini terdiri daripada RM10.02 bilion dan bayaran kemajuan sebanyak RM9.67 bilion.

Bayaran pendahuluan sebanyak RM10.02 bilion bersandarkan bon pendahuluan dengan jumlah yang sama.

Bon bayaran pendahuluan ini boleh ditebus oleh MRL untuk mendapatkan semula RM10.02 bilion tersebut.

“Dalam erti kata lain, sekiranya berlaku senario terburuk maka Kerajaan Persekutuan boleh mendapatkan semula RM10.02 bilion daripada RM19.68 bilion yang dibayar,” kata Guan Eng dalam satu kenyataan di sini.

Berdasarkan fakta dan angka di atas serta kajian kebolehlaksanaan projek, Kementerian Kewangan menjangkakan projek ECRL hanya akan menjadi berdaya maju daripada segi kewangan dan ekonomi jika terdapat pengurangan harga projek secara
signifikan oleh CCCC.

Manakala, perbincangan kos akan diadakan dengan pihak kontraktor dan pihak lain yang terlibat dalam projek tersebut.

Guan Eng menambah, Kerajaan Selangor telah membantah pembinaan landasan rel dari Gombak ke Pelabuhan Klang bagi projek ini.

Mengikut Seksyen 20A Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976, Kerajaan Persekutuan dikehendaki berunding dengan kerajaan negeri sebelum melaksanakan mana-mana projek persekutuan di negeri yang berkenaan.

“Bantahan Kerajaan Selangor ini berdasarkan prinsip permohonan mereka untuk mendapatkan status Tapak Warisan Dunia UNESCO bagi Klang Gates Quartz Ridge sepanjang 16 kilometer, yang merupakan permatang kuartza yang terpanjang di dunia.

“Pembinaan landasan sambungan ECRL dari Gombak ke Pelabuhan Klang ini tentu akan menggagalkan usaha Kerajaan Selangor untuk menyenaraikan kawasan ini sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO,” katanya.

Sehubungan itu, Guan Eng berkata, jika terdapat pengurangan harga yang signifikan, barulah Kerajaan Persekutuan boleh berbincang dengan Selangor tentang kebaikan atau keburukan projek ECRL ini berbanding dengan kebarangkalian penyenaraian Tapak Warisan Dunia UNESCO. – MalaysiaGazette