Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz (tengah) dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberikan keterangan dipercayai berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2018
Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz (tengah) dilihat keluar dari ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas memberikan keterangan dipercayai berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 03 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Riza Aziz baharu ssahaja habis memberi keterangan di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) malam tadi selepas disoal siasat hampir sembilan jam.

Bapa tirinya, Datuk Seri Najib Razak pula terpaksa ‘bermalam’ di SPRM selepas ditangkap petang tadi.

Riza, 48, hadir memberi keterangan kira-kira jam 1.30 petang tadi kepada SPRM bagi membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau dilihat keluar dari ibu pejabat SPRM kira-kira 10.30 malam dan kelihatan sugul dan enggan memberikan sebarang kenyataan kepada media.

Terdahulu, awal hari jni Riza dilihat ditemani beberapa orang peguam yang turut memasuki bangunan SPRM.

Riza Aziz yang juga seorang produser filem Hollywood pernah dikaitkan dengan isu 1MDB termasuk dakwaan menggunakan wang syarikat tersebut untuk menerbitkan sebuah filem.

SPRM sejak akhir Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk Najib.

Bekas Perdana Menteri memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu diikuti isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor pada 5 Jun lalu.

Pada minggu lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB bertindak membekukan lebih 900 akaun termasuk akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB. – MalaysiaGazette