Anak tiri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Riza Aziz (kanan) tiba di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi memberikan keterangan dipercayai berkaitan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.
Riza Aziz (kanan). foto HAZROL ZAINAL, 03 JULAI 2018.

PUTRAJAYA – Anak tiri bekas Perdana Menteri Najib Razak, Riza Aziz, 48, memasuki perkarangan ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) jam 1.32 petang bagi merakamkan keterangan.

Anak kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu dipanggil SPRM membantu siasatan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau yang memakai sut hitam bersama t-shirt kuning turun dari kereta KIA Sorento bernombor pendaftaran WC1044W berwarna perak.

Riza dilihat ditemani beberapa orang peguam yang turut memasuki bangunan SPRM bersama beliau.

Beliau bagaimanapun tidak memberi sebarang komen kepada media.

Riza Aziz yang juga seorang produser filem Hollywood pernah dikaitkan dengan isu 1MDB termasuk dakwaan menggunakan wang syarikat tersebut untuk menerbitkan sebuah filem.

SPRM sejak akhir Mei lalu mula memanggil beberapa individu bagi melengkapkan siasatan berkaitan syarikat pelaburan strategik kerajaan itu termasuk Najib.

Bekas perdana menteri memberi keterangan pada 22 dan 24 Mei lalu diikuti isteri beliau, Datin Seri Rosmah Mansor pada 5 Jun lalu.

Minggu lalu, Pasukan Petugas Khas 1MDB bertindak membekukan lebih 900 akaun termasuk akaun UMNO Pusat dan UMNO Selangor bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan berhubung dakwaan akaun berkenaan menerima dana daripada 1MDB. -MalaysiaGazette