KECEDERAAN salah seorang anggota polis yang dilibas dengan kerambit oleh seorang lelaki yang pada mulanya ditahan kerana mencuri kipas dinding dalam kejadian di Bayan Baru, Pulau Pinang.
KECEDERAAN salah seorang anggota polis yang dilibas dengan kerambit oleh seorang lelaki yang pada mulanya ditahan kerana mencuri kipas dinding dalam kejadian di Bayan Baru, Pulau Pinang.

PULAU PINANG – Dua anggota polis cedera di bahagian tangan selepas dilibat dengan kerambit oleh seorang suspek yang ditahan kerana disyaki memecah masuk sebuah klinik swasta di sini.

Dalam kejadian di Jalan Mahsuri, Bayan Baru, di sini Sabtu lalu, suspek berusia 28 tahun dan seorang lagi rakannya memecah masuk klinik itu sebelum mencuri sebuah kipas angin dinding.

Bertindak daripada laporan kejadian itu, dua anggota polis iaitu Lans Koperal Mohd. Nazri Mat Naya dan Konstabel Mohammad Izzat Shafiq Mohd. Razi yang bertugas di Balai Polis Bayan Baru dikerahkan ke lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. Anbalagan berkata, selepas berjaya dikesan, kedua-dua anggota polis terbabit cuba menahan suspek namun secara tiba-tiba dilibas dengan kerambit berupa taji ayam sehingga cedera di bahagian tangan.

Tambahnya, suspek kemudian berjaya melarikan diri dan dua anggota polis berkenaan dirawat di Hospital Balik Pulau (HBP) di sini dan masing-masing menerima tujuh jahitan namun dilaporkan berada dalam keadaan stabil.

Bagaimanapun, menurut Anbalagan, suspek bagaimana berjaya ditahan kira-kira pukul 2.50 pagi semalam selepas dikesan berada di hadapan sebuah restoran makanan segera di Sungai Dua, di sini.

“Ketika disoal siasat, suspek mengaku telah menikam kedua-dua anggota polis berkenaan menggunakan kerambit manakala ujian air kencing pula mendapati suspek positif dadah jenis mrofin,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Anbalagan, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Dash, sebilah pisau (kerambit), sebuah helmet serta kipas angin dinding yang dicuri suspek.

Tambahnya, bagi kes membabitkan kecurian dalam bangunan, suspek disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan (KK) manakala kes menyerang anggota polis pula disiasat di bawah Seksyen 307 KK atas tuduhan cuba membunuh,” katanya. – MalaysiaGazette