Syed Saddiq Syed Abdul Rahman
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Muar di utara Johor telah menjadi “Daerah Menteri” apabila empat wakil rakyat di situ dilantik sebagai menteri penuh dalam Barisan Kabinet yang diumumkan.

Menteri tersebut termasuk Menteri Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar, Yeo Bee Yin (kerusi Parlimen Bakri) serta Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (kerusi Parlimen Muar).

Selain itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (kerusi Parlimen Pagoh) merupakan Menteri Dalam Negeri sementara Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simpang Jeram, Salahuddin Ayub ialah Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani.

Menurut China Press, pengumuman Barisan Kabinet yang terkini menjadikan Muar sebagai daerah yang mempunyai paling banyak wakil dalam Jemaah Menteri.

Dalam pada itu, Sinchew Daily pula melaporkan, Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Seg Hwa di Segamat, Johor telah melahirkan masing-masing seorang menteri dan seorang timbalan menteri.

Bee Yin yang akan meneraju Kementerian Tenaga, Teknologi, Sains, Perubahan Iklim dan Alam Sekitar merupakan alumni sekolah itu yang menamatkan persekolahan pada tahun 2000.

Sementara itu,  Timbalan Menteri Kesihatan, Dr. Lee Boon Chye merupakan bekas pelajar yang tamat persekolahan pada 1977.

Pada ketika Johor berkilauan dengan sinaran menteri, keadaan pula agak suram di Perak apabila seorang calon menteri yang dijanjikan DAP pada kempen pilihan raya iaitu Nga Kor Ming tidak dilantik sebagai menteri atau pun timbalan menteri.

Kor Ming yang mengalahkan Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong di kerusi Parlimen Teluk Intan hanya mampu mengucapkan tahniah kepada rakan-rakan Pakatan Harapan lain yang dilantik sebagai menteri.

Nasib Kor Ming yang tidak dilantik dilaporkan mendukacitakan penyokongnya di Taiping dan Teluk Intan.

Kor Ming yang meneraju DAP Perak merupakan bekas Ahli Parlimen Taiping sebelum berpindah untuk bertanding di Teluk Intan pada pilihan raya Mei lalu. – MalaysiaGazette