Menteri Kewangan, Yb Lim Guan Eng bercakap pada sidang media mengenai hutang RM1 Trillion di Kementerian Kewangan Malaysia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 31 MEI 2018
Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Kementerian Kewangan telah menggantung kerja dan perkhidmatan semua kontrak projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), Saluran Paip Gas Trans Sabah (TSGP) dan Saluran Paip Pelbagai Produk Petroleum (MPP).

Notis atau arahan penggantungan kerja dan perkhidmatan itu telah dihantar kepada pihak-pihak kontraktor pada 3 Julai lalu.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, notis penggantungan ini berkuatkuasa serta-merta sehingga notis selanjutnya dikeluarkan oleh kementeriannya.

Katanya, arahan itu dikeluarkan oleh Perdana Menteri selepas mendapat pandangan Jabatan Peguam Negara.

“Perlu ditegaskan bahawa tindakan yang diambil adalah semata-mata ke atas syarikat yang berkaitan dengan peruntukan dalam surat perjanjian dan tidak ada kena-mengena dengan mana-mana negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) adalah anak syarikat milik penuh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD).

SSER telah diberi mandat untuk melaksanakan projek MPP dan TSGP manakala MRL pula melaksanakan projek ECRL.

Kontrak bagi projek MPP dan TSGP yang mempunyai kos pembinaan bernilai RM9.4 bilion telah dianugerahkan kepada China Petroleum Pipeline Bureau (CPPB) pada 1 November 2016.

SSER telahpun membuat bayaran sebanyak RM8.3 bilion ataupun 88 peratus daripada kos pembinaan RM9.4 bilion sungguhpun kemajuan kerja (yang belum diaudit) dianggarkan pada tahap 13 peratus.

Kontrak-kontrak SSER bernilai RM9.4 bilion ini belum lagi mengambil kira kos perjanjian pengambilalihan tanah, dua perjanjian perundingan pakar, dan satu perjanjian penyelenggaraan yang bernilai RM1.7 bilion.

Sementara projek ECRL merupakan projek landasan kereta api dari Pelabuhan Klang dan tamat di Pengkalan Kubor, Kelantan yang telah mendapat kelulusan Jemaah Menteri pada 2016 dan 2017, yang mana China Communications Construction Company (CCCC) telah dilantik sebagai kontraktor utama.

Kos keseluruhan sebenar ECRL dijangkakan mencecah RM81 bilion, termasuk kos pengambilalihan tanah dan faedah pinjaman semasa pembinaan projek. – MalaysiaGazette