Alwi Ibrahim

PUTRAJAYA – Kementerian Dalam Negeri (KDN) sedang menyemak semula pelaksanaan projek-projek yang mempunyai implikasi kewangan yang besar terhadap negara.

Dalam satu kenyataan, Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, langkah itu adalah selaras dengan penambahbaikan tadbir urus dan usaha kerajaan untuk merasionalisasikan perbelanjaan.

“Projek-projek tersebut termasuk Projek Sistem Kawalan Imigresen Nasional (SKIN) dan projek-projek lain, ” katanya.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mengambil alih tampuk pemerintahan selepas menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu mendedahkan hutang negara mencecah RM 1 trilion.

Untuk mengurangkan pinjaman negara, Dr Mahathir juga mengumumkan bahawa beberapa projek mega yang menelan kos berbilion ringgit seperti Laluan 3 Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) dibatalkan .

Selain itu, perdana menteri juga mengumumkan untuk memansuhkan agensi dan instusi berkaitan kerajaan juga dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kerajaan, termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Majlis Profesor Negara (MPN). – Bernama