Gambar hiasan
Gambar hiasan

HONOLULU- Beberapa jenama besar produk tabir suria seperti Banana Boat dan Coppretone perlu melakukan perubahan terhadap isi kandungan mereka atau terpaksa menghentikan jualan.

Gabenor Hawaii, David Ige telah menandatangani perjanjian yang mengharamkan penjualan produk tabir suria yang mengandungi dua jenis bahan kimia yang dipercayai membahayakan terumbu karang, sekaligus menjadikan Hawaii sebagai negeri pertama di Amerika Syarikat yang melaksanakan undang-undang melindungi ekosistem marin.

“Ini hanyalah satu langkah kecil bagi melindungi dan menghidupkan semula terumbu karang di Hawaii,” kata Ige selepas menandatangani draf undang-undang yang akan berkuatkuasa pada 2021.

Draf undang-undang yang juga dikenali sebagai SB 2571 itu diluluskan oleh pembuat-pembuat dasar negeri pada Mei yang menyatakan bahan kimia seperti Oxybenzone dan Octinoxate mempunyai impak yang sangat membahayakan alam sekitar dan ekosistem marin di Hawaii.

Undang-undang baharu itu bermatlamat untuk mengenepikan produk tabir suria yang mengandungi bahan kimia berkenaan dari rak farmasi bagaimanapun ianya masih boleh dibeli sekiranya seseorang itu mempunyai preskripsi daripada penyedia penjagaan kesihatan berlesen.

Ia bagaimanapun telah menimbulkan kebimbangan beberapa syarikat, persatuan usahawan dan pakar kulit yang mana berpendapat undang-undang tersebut mungkin menyebabkan orang ramai langsung tidak memakai tabir suria.- MalaysiaGazette