Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin

PUTRAJAYA – Sebanyak 44,308 kes daripada 44,581 yang telah difailkan di bawah Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) antara 2013 hingga 2018 berjaya diselesaikan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin berkatan 7,645 kes daripada 9,787 yang difailkan di bawah Tribunal Pengurusan Strata juga dapat diselesaikan bagi tempoh yang sama. 

“Tribunal ini mempunyai bidang kuasa untuk mendengar dan menentukan apa-apa tuntutan dan pertikaian yang timbul daripada perjanjian jual beli yang dibuat antara pembeli rumah dan pemaju perumahan berlesen seperti peruntukan di bawah subseksyen 16N(2) Akta 118 dan tuntutan tersebut tidak melebihi RM50,000,” katanya.

Beliau menyatakan demikian semasa berucap pada majlis Penyampaian Watikah Presiden Tribunal Perumahan bagi Tribunal Tuntutan Pembeli Rumah (TTPR) dan Tribunal Pengursan Strata (TPS) hari ini.

Zuraida menjangkakan trend kes dijangka terus meningkat ekoran peningkatan jumlah projek perumahan. 

“Saya tengok purata akan terus meningkat, sebab makin banyak pembangunan perumahan mesti makin banyak ketidakpuasan hati,” tambah beliau. 

Menurut Zuraida, kementeriannya mahu mengkaji alternatif untuk memudahkan tuntutan dibuat tanpa perlu mengambil masa yang lama dan menyusahkan pembeli rumah. 

“Kementerian mengkaji semula bagaimana kita nak mudahkan tuntutan pemberian strata dan lain tuntutan,” ujarnya. -MalaysiaGazette