KUALA LUMPUR – Jabatan Peguam Negara (AGC) hari ini berkata bahawa bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali, tidak bercakap benar mengenai Permohonan Semakan dan Permintaan Tafsiran terhadap keputusan kes kedaulatan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

Merujuk kepada artikel bertajuk ‘Malaysia ada bukti kukuh’ yang telah diterbitkan pada 1 Julai 2018 dalam Mingguan Malaysia, berdasarkan temu bual dengan Mohamed Apandi, jabatan itu berkata Mohamed Apandi telah menyatakan bahawa ICJ telah memfokuskan kepada surat bertarikh tahun 1953 daripada pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor yang dihantar kepada Singapura.

“Menurut beliau (Mohamed Apandi) surat tersebut menyatakan bahawa Malaysia tidak berminat terhadap Pedra Branca (Pulau Batu Puteh). Beliau menyatakan bahawa Malaysia tidak membangkitkan isu berkenaan dengan kuasa pemangku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor tersebut dan disebabkan itu Malaysia kalah dalam kes ini.

“Rekod menunjukkan bahawa pernyataan Mohamed Apandi adalah tidak benar. Malaysia telah menghujahkan berkenaan dengan perkara tersebut secara terperinci di hadapan ICJ. Hujahan Malaysia berkaitan dengan ini semasa pendengaran lisan kes Pulau Batu Puteh boleh didapati dalam ICJ Document CR 2007/30,” kata jabatan itu dalam kenyataan media di sini.

Ia berkata walaupun keputusan ICJ tidak memihak kepada Malaysia dalam perkara ini, ICJ walau bagaimanapun dalam penghakimannya telah memutuskan antara lain, bahawa ia tidak menyifatkan surat bertarikh 1953 itu sebagai mempunyai ciri konstitutif dalam erti kata bahawa ia mempunyai kesan undang-undang yang muktamad terhadap Johor iaitu Pulau Batu Puteh tetapi sebaliknya ia merupakan maklum balas terhadap suatu pertanyaan.-BERNAMA