KUALA LUMPUR – Ringgit mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada pembukaan pagi ini dengan mendapat sokongan belian sederhana, kata peniaga.

Pada 9.00 pagi, ringgit disebut pada 4.0375/0405 berbanding dolar AS berbanding 4.0395/0425 penutup Khamis.

“Ringgit yang lebih kukuh ini tidak kekal lama berikutan kami menjangka perang perdagangan akan semakin memuncak, yang akan menyebelahi dolar AS,” kata peniaga.

Presiden Donald Trump baru-baru ini mengumumkan keputusan untuk mengenakan tarif 10 peratus ke atas tambahan import China bernilai AS$200 bilion.

Berbanding mata wang utama lain, ringgit turut mengukuh.

Ia menokok berbanding dolar Singapura kepada 2.9620/9659 daripada 2.9643/9672, dan mengukuh berbanding yen kepada 3.5819/5855 daripada 3.5926/5959 Khamis.

Ringgit mengukuh berbanding euro pada 4.7101/7141 daripada 4.7161/7212, dan menokok berbanding pound British kepada 5.3210/3254 daripada 5.3394/3438. – BERNAMA