JAKARTA – Suruhanjaya Pembasmian Rasuah (KPK) Indonesia akan melelong kiswah, kain yang menutupi Kaabah, milik bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Suryadharma Ali yang kini menjalani hukuman penjara kerana menggelapkan dana haji negara itu.

“Kain itu merupakan antara barangan yang ditawarkan pada lelongan umum di pejabat KPK pada 25 Julai selain kereta, telefon bimbit dan barangan kepmas,” kata jurucakap KPK, Febri Diansyah seperti dipetik The Jakarta Post.

Kiswah dengan kaligrafi Arab berwarna hitam berukuran 80 (sentimeter) panjang dan 59 sm lebar itu ditawarkan pada harga rizab sebanyak Rp22.5 juta (RM6,328). Pembida perlu mendaftar dengan Ketua Pengarah Aset Negara di Kementerian Kewangan untuk melayakkan mereka melakukan bidaan.

KPK sentiasa melakukan lelongan aset yang dirampas daripada pesalah rasuah, selepas kes selesai dalam usaha memulihkan kerugian negara itu.

Pada 2016, mahkamah mendapati Suryadharma bersalah menggelapkan dana haji berjumlah Rp13 bilion (RM3.65 juta) yang dilakukan antara 2010 hingga 2013.

Beliau juga didapati bersalah menyalah guna kuasa dengan menyalurkan kuota haji kepada ahli keluarganya dan ahli parti politik, Partai Persatuan Pembangunan(PPP).

Kini kes Suryadharma dikaji semula selepas beliau memfailkan petisyen kepada Mahkamah Agung pada 5 Mei lalu. – Agensi