Anwar memberitahu, isterinya Dr Wan Azizah akan berundur sebaik beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.
Anwar memberitahu, isterinya Dr Wan Azizah akan berundur sebaik beliau mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Tun Dr Mahathir.

KUALA LUMPUR – Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan akan bertanding bagi jawatan presiden bagi pemilihan PKR pada November akan datang.

Anwar mendedahkan, keputusan itu dicapai selepas perbincangan dengan Presiden yang juga isterinya, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalan Presiden, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bersama kepimpinan tertinggi yang lain.

Anwar dalam satu kenyataan mendedahkan, beliau mengambil pandangan beberapa pihak sebelum membuat keputusan itu dengan penuh perhatian dan teliti.

“Sejak Pemilihan Keadilan tahun 2007 saya telah diminta untuk memimpin Keadilan selaku Presiden. Namun, sekatan-sekatan yang dikenakan oleh Pendaftar Pertubuhan pada ketika itu ternyata menjadi kendala, malah lebih parah lagi membawa implikasi pembubaran parti. Demi maslahah lebih besar, saya memilih untuk berundur sementara Azizah kekal selaku Presiden Keadilan.

“Namun iktikad Presiden, Timbalan Presiden, pimpinan dan akar umbi, ditambah keazaman rakyat menyaksikan kita mendobrak sejarah memimpin Pakatan Rakyat (ketika itu) bersama Azizah menafi dua pertiga UMNO-BN pada PRU Ke-12, meraih undi popular mencecah 51 peratus pada PRU Ke-13, dan melangkah gagah ke Putrajaya dengan menjadi parti komponen terbesar di Parlimen melalui muafakat Pakatan Harapan tanggal 9 Mei yang lepas.

“Justeru setelah berbincang dengan Azizah, Timbalan Presiden, dan kempimpinan, serta mengambil kira segenap pandangan dan keperluan demi kelangsungan Keadilan, dengan penuh kesedaran atas prinsip iltizam, saya menawar diri untuk bertanding jawatan Presiden Keadilan.

“InsyaAllah jika mandat diperolehi daripada akar umbi seluruh negara, saya akan mengemudi parti selaku presiden selepas selesai Kongres Nasional pada November ini,” katanya sebentar tadi.

Semalam, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil mendedahkan keadaan kesihatan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilaporkan kurang memuaskan bukan masalah besar untuk beliau tampil bertanding bagi jawatan Presiden PKR.

Ahmad Fahmi berkata, Ketua umum PKR itu kini juga semakin pulih selepas menjalani rawatan di Turki.

Anwar kini berada di Turki kerana mendapatkan rawatan kesihatan selepas menjalani pembedahan melibatkan tulang belakang dan bahu.

Terdahulu, beberapa pemimpin PKR menggesa beliau bertanding jawatan itu, antaranya Naib Presiden, Shamsul Iskandar Md Akin dan Ketua Pemuda, Nik Nazmi Nik Ahmad.

Wan Azizah juga telah menyatakan beberapa kali kesediaan beliau untuk berundur jika Anwar memutuskan untuk bertanding jawatan itu pada bila-bila masa.

Pada 2007, Anwar menarik diri selepas Pendaftar Pertubuhan (ROS) mengancam untuk mengharamkan PKR kerana beliau ketika itu masih dalam tempoh larangan memegang jawatan politik selama lima tahun susulan pembebasannya daripada penjara pada 2004.

Beliau juga membatalkan hasrat bertanding pada 2014 selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah dalam kes Liwat II ketika itu. – Malaysia Gazette