Mazlan Lazim
Datuk Seri Mazlan Lazim

KUALA LUMPUR – Kes seorang anggota polis wanita dari Pasukan Gerakan Am (PGA) lebam di muka dan beberapa anggota badan dipercayai ayai dibelasah bekas kekasihnya yang juga seorang anggota polis kini dalam siasatan.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian itu dan akan memberikan butiran lengkap pada sidang media esok.

“Pihak kami sudah menerima laporan berhubung kejadian itu. Untuk tindakan lanjut kita akan tengok sekiranya terdapat unsur jenayah, tindakan undang-undang akan dijalankan.

“Jika ia membabitkan hal pejabat, tindakan tatatertib akan diambil,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada majlis pelancaran Bunker Hotel & Restaurant di sini malam ini.

Turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad dan pemilik hotel tersebut, pelakon Fauzi Nawawi.

Ahad lalu, anggota polis yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields menghubungi bekas wanita berkenaan dan meminta mangsa datang ke rumahnya untuk mengambil semula barang miliknya.

Mangsa dikatakan tidak dapat pergi ke rumah bekas teman lelakinya itu kerana tiada kenderaan, namun lelaki berkenaan memaklumkan dia akan berjumpa mangsa di PGA Cheras, dekat sini.

Sumber berkata, ketika berjumpa di kawasan berhampiran PGA Cheras, suspek dikatakan merampas telefon bimbit mangsa dengan alasan mahu memadam gambarnya.

“Pergelutan berlaku dalam kereta Honda Civic suspek kerana mangsa mahu mengambil semula telefon bimbitnya. Dalam pergelutan itu mangsa mendakwa dia ditampar di pipi dan ditumbuk di mata kiri,” katanya.

Menurut sumber, mangsa kemudian cuba keluar dari kereta bekas kekasihnya itu namun dihalang sebelum suspek membawanya ke arah Taman Fern Grove di Batu 9, Cheras, Selangor.

“Sebaik tiba, mangsa mendakwa dia dipukul menyebabkan dia mengalami sesak nafas. Lelaki berkenaan balik ke rumahnya di taman berkenaan dan meninggalkan wanita itu sendirian dalam kenderaan.

“Wanita itu kemudiaanya masuk ke rumah lelaki berkenaan sebelum berlaku pergelutan dengan kepalanya dihentak ke dinding,” katanya.

Sumber berkata, selepas memukul mangsa, suspek menghantar bekas kekasihnya pulang ke rumahnya di kem PGA Cheras dalam keadaan sesak nafas dan lebam di muka, dada dan lengan.

“Mangsa kemudaiannya membuat laporan polis berhubung kejadian,” katanya. – MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.