Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018
Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof berikrar akan melaksanakan tugas yang telah diamanahkan kepada beliau dengan penuh tanggungjawab serta bebas dari mana-mana pengaruh luar.

“Saya akan berusaha melaksanakan tugas saya dengan sepenuh hati dan bebas daripada pengaruh luar untuk memelihara, memartabat maruah dewan yang mulia ini.

“Saya juga akan bersama dengan tuan-tuan dan puan-puan yang berhormat sekalian berusaha ke arah meningkatkan lagi wibawa institusi parlimen negara kita, supaya budaya demokrasi berparlimen negara kita bertambah berkesan, adil dan saksama,” katanya selepas mengangkat sumpah jawatan di Dewan Rakyat hari ini.

Bekas hakim negara itu yang berusia 69 tahun itu dimasyhurkan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang kesembilan hari ini dan merupakan calon tunggal yang dikemukakan untuk memegang jawatan itu.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengusulkan pencalonan Mohamad Ariff sejurus persidangan Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi ini.

Cadangan itu disokong oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Menurut Mohamad Ariff, Dewan Rakyat berjaya menempa sejarah kerana proses peralihan kuasa telah berlaku secara aman berikutan sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di negara ini sehingga kini.

“Ini bukti keampuhan sistem demokrasi berparlimen kita untuk menangani perbezaan dan perselisihan yang sudah pasti wujud dalam mana-mana negara, lebih-lebih lagi dalam negara kita yang berbilang kaum serta pegangan ini.

“Seluruh perhatian dunia kini tertumpu kepada Dewan Rakyat ini sebagai ruang untuk mengurus kepelbagaian yang wujud di dalam negara kita dengan cara yang tertib dan mengekalkan keamanan,” tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan setiap ahli Parlimen supaya sentiasa melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan berbahas secara bertanggungjawab dan penuh kejujuran.

“Saya yakin ahli-ahli Parlimen sekalian, seperti mana mereka yang terdahulu akan melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat dengan berbahas berasaskan kejujuran dan tanggungjawab serta berdebat secara hormat-menghormati dalam rangka Parlimen,” ujarnya.

Terdahulu pelantikan Mohamad Ariff mendapat bantahan daripada wakil rakyat pembangkang yang mendakwa lantikan itu tidak mengikut lunas undang-undang dan perlu menangguh persidangan untuk 14 hari bagi membetulkan isu tersebut.

Mohamad Ariff ,yang merupakan hakim Mahkamah Rayuan sebelum bersara pada 2015, terkenal dengan penghakimannya yang adil dan tidak memihak antaranya seperti krisis perlembagaan negeri Perak pada 2009 dan kontroversi berhubung kematian pembantu politik DAP, Teoh Beng Hock ketika disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia.

Beliau arif dalam undang-undang komersial, perbankan, sekuriti, arbitrasi, perlembagaan dan undang-undang pentadbiran.– Malaysia Gazette