Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof (tengah) bersama Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Langkawi, Tun Mahathir Mohamad (kiri) dan Timbalan Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (kanan) semasa sesi bergambar pada hari pertama persidangan Dewan Rakyat Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 16 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof sudah meletak kesemua jawatan dalam Parti Amanah Negara (AMANAH) berkuatkuasa 1 Julai lepas.

Malah, peletakan jawatan beliau sebagai Majlis Penasihat Pakar AMANAH dan Pengerusi Lembaga Disiplin dan Tata Tertib sudah diterima oleh kepimpinan tertinggi parti itu.

Menurut Setiausaha Agung AMANAH, Anuar Tahir, pihaknya telah menerima surat peletakan jawatan Mohamad Ariff sebelum beliau mengangkat sumpah sebagai Speaker Dewan Rakyat hari ini.

“Beliau telah menyerahkan surat untuk letakkan jawatan kepada saya selaku Setiausaha Agung Amanah yang telah menerimanya pada 1 Julai lepas. Beliau telah melepaskan semua jawatan beliau dan sekadar ahli biasa dalam parti.

“Kami juga dalam parti telah sebulat suara menerima peletakan jawatan itu ketika itu,” katanya kepada pemberita sebentar tadi.

Terdahulu, wakil rakyat pembangkang keluar Dewan Rakyat sejurus selepas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad membuat pengumuman pelantikan Mohamad Ariff sebagai Speaker Dewan Rakyat.

Pembangkang mendakwa pemilihan itu tidak mengikut peraturan mesyuarat yang memerlukan notis bertulis 14 hari sebelum itu.

Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mendakwa pihaknya mempunyai bukti kukuh yang menyatakan pelantikan dilakukan pada saat-saat akhir dan jelas tidak mematuhi standing order seperti yang termaktub. –MalaysiaGazette