Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengangkat sumpah selepas dilantik Senator pada Upacara Angkat Sumpah Senator di Dewan Negara, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2018
Pengerusi Hindraf, P Waytha Moorthy mengangkat sumpah selepas dilantik Senator pada Upacara Angkat Sumpah Senator di Dewan Negara, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 17 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Pengerusi Hindraf, P. Waytha Moorthy hari ini mengangkat sumpah sebagai Senator dalam satu majlis di Dewan Negara.

Beliau merupakan antara lapan pemimpin yang dilantik sebagai Ahli Dewan Negara untuk tempoh tiga tahun sehingga 2021.

Waytha Moorthy pernah menjadi senator semasa pentadbiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dilantik Timbalan  Menteri di Jabatan Perdana Menteri namun berundur setahun selepas itu.

Waytha moorthy ketika ditemui pemberita berkata, beliau sangat gembira kerana apa yang dinantikan selama ini berjaya perolehinya di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan.

“Saya keluar dari kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana bekas perdana menteri itu gagal menunaikan apa yang dijanjikannya empat tahun lalu,” katanya di lobi Dewan Negara di sini.

Menurutnya, beliau akan terus memperjuangkan isu-isu masyarakat India yang perlu diberi perhatian dan ditangani segera menerusi perbincangan bersama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Ditanya sama ada beliau akan memegang jawatan menteri atau timbalan menteri Waytha Moorthy berkata: “Saya sekarang bergegas ke istana untuk angkat sumpah, kamu akan tahu nanti (jawatan menteri atau timbalan).”

Turut mengangkat sumpah senator di hadapan Speaker Dewan Negara Tan Sri S. A. Vigneswaran ialah Pengerusi Parti Amanah Negara (PAN) Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad; Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bahagian Ketereh, Kelantan, Dr Mohd Radzi Md Jidin; Ketua PPBM Pulau Pinang Marzuki Yahya; Pengerusi DAP Johor Liew Chin Tong dan Ketua Eksekutif Pihak Berkuasa Wilayah Pembangunan Iskandar (IRDA) Datuk Ismail Ibrahim.

Masing-masing mengangkat sumpah sebagai senator buat pertama kali menerusi lantikan Yang di-Pertuan Agong.

Sementara itu, buat pertama kali Pesuruhjaya PAS Terengganu Datuk Hussain Awang mengangkat sumpah sebagai senator yang dipilih oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu manakala Pensyarah Akademi Pengajian Islam Kontemporari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Asmak Husin dipilih oleh DUN Kelantan.

Vigneswaran dalam ucapannya menyarankan kesemua yang dilantik hari ini supaya menabur khidmat bakti kepada rakyat dan negara serta memartabatkan sistem legaslatif Dewan Negara. – MalaysiaGazette