KUALA LUMPUR – Ringgit meneruskan penurunan semalam untuk dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) dan dengan harga minyak mentah rendah.

Pada 9.03 pagi, ringgit berada pada 4.0530/0600 berbanding dolar AS daripada 4.0445/0485 semasa ditutup pada Selasa.

Ketua Dagangan Asia Pasifik OANDA, Stephen Innes berkata dolar AS yang lebih kukuh dengan harga minyak mentah rendah telah menyebabkan ringgit berusaha untuk mendapat tarikan.

Sehingga pada 9.30 pagi, penanda aras minyak mentah Brent diniagakan rendah pada US$71.79 setong susulan kebimbangan mengenai peningkatan bekalan.

Sementara itu, seorang lagi peniaga berkata kenyataan Pengerusi Rizab Persekutuan Jerome Powell mengenai prestasi ekonomi AS yang meningkat telah mendorong dolar AS meningkat, menyebabkan mata wang tersebut diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain.

Selain itu, katanya pelabur kekal tidak memasuki pasaran menjelang Indeks Harga Pengguna bagi Jun yang akan diumumkan hari ini untuk hala tuju pelaburan seterusnya.

Ringgit, bagaimanapun, diniagakan tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 2.9686/9748 daripada 2.9737/9768, naik berbanding yen kepada 3.5867/5939 daripada 3.5986/6025, dan meningkat berbanding pound kepada 5.3131/3235 daripada 5.3610/3667 pada Selasa.

Berbanding euro, ringgit turut naik kepada 4.7238/7327 daripada 4.7438/7489 semalam. – MalaysiaGazette