Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir
Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir bercakap pada sidang media bagi membantah kenyataan Menteri KPDNKK yang menyalahkan operator makanan India Muslim dalam isu pasca GST di Hotel Sunrise, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

PETALING JAYA –  Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN) membantah sekeras-kerasnya tindakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) yang hanya menyalahkan operator makanan India Muslim sahaja dalam isu tiada penurunan harga makanan.

Presidennya, Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir berkata, statistik yang diumumkan oleh menterinya, Datuk Saifuddin Nasution hanya merujuk kepada masyarakat India Muslim disifatkan sebagai berbaur perkauman.

“Kami tidak faham dengan kenyataan beliau, hanya masyarakat India Muslim dinamakan. Adakah pengusaha-pengusaha makanan lain telah mematuhi harga itu?

“Menteri perlu memberi statistik mengikut operator makanan dan bukan mengikut kaum. Kalau dia bagi statistik mengikut kaum, itu adalah kenyataan yang rasis,” katanya dalam sidang media di Hotel Sunrise, di sini, hari ini.

sidang media MIMCOIN
Presiden Dewan Perniagaan India Muslim Malaysia (MIMCOIN), Datuk Syed Jamarulkhan S.Kadir bercakap pada sidang media bagi membantah kenyataan Menteri KPDNKK yang menyalahkan operator makanan India Muslim dalam isu pasca GST di Hotel Sunrise, Petaling Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 18 JULAI 2018.

Khamis lalu, Saifuddin mendedahkan kira-kira 30 peratus daripada pengusaha restoran India Muslim didapati masih menaikkan harga makanan dan minuman walaupun Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) ditetapkan pada kadar sifar berkuatkuasa sejak 1 Jun.

Bagaimanapun Saifuddin berkata hanya 70 peratus pengendali restoran India Muslim yang menurunkan harga makanan dan minuman selepas GST sifar dikuatkuasa  berdasarkan tinjauan KPDNKK sejak Mei dan Jun lalu.

Syed Jamarulkhan juga menegaskan, tindakan Saifuddin itu juga seolah-olah cuba mempamerkan pengendali restoran India Muslim tidak jujur dalam perniagaan makanan.

“Kami membantah sepenuhnya (kenyataan Menteri) menggunakan satu kaum (India Muslim).

“Kalau beliau nak bagi statistik kena semua kaum, masyarakat mana yang turun, kalau India Muslim saja, apa jadi dengan masyarakat lain, (tapi) dia tak beritahu,” katanya.

Katanya lagi, sebagai kerajaan baharu, beliau mengharapkan pendekatan perkauman itu dihindarkan daripada pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

“Sebagai masyarakat India Muslim, kami tidak setuju, ramai NGO kami tidak senang hati dengan kenyataan menteri itu, mungkin dia baru lagi, kerajaan baru.

“Kami sokong kerajaan PH, semua masyarakat di Malaysia mempunyai harapan baharu, tapi jangan dikaitkan dengan satu-satu kaum sahaja, kami membantahnya,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

3 Komen

  1. Mana kedai dia busines sama hari hari dia punya untung rugi takkan orang lain bagi dia sendiri kena tanggung orang nak pergi makan dulu tengok dia punya harga kalau mahal jangan pergi kedai itu cari yang murah kita mahu Control dia punya harga sewa belanja takkan sama ada

  2. Satu komen yang bernas . Yb Menteri yang mendokong “inclusiveness” di mana hak semua kaum akan dibela dan kebajikan mereka akan dijaga adil dan saksama itu lah antara manifesto yang di janjikan. Tidak sepatutnya menunding jari ke atas satu kaum sahaja seolah2 kaum india muslim adalah penjenayah besar di Malaysia. Bagaimana pulak dengan banyak pengusaha yang menyerap Gst dan tidak kutip dari pelanggan , dia nak turun harga apa?. Fikir dahulu sebelum tembak , jagan macam kerajaan dahulu dua kali lima.

Comments are closed.