Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam bercakap pada sidang media mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Pekhidmatan (SST) di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2018.
Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri T. Subromaniam bercakap pada sidang media mengenai pelaksanaan Cukai Jualan dan Pekhidmatan (SST) di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kelana Jaya, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 19 JULAI 2018.

PETALING JAYA – Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang bakal dilaksanakan semula akan lebih memudahkan peniaga berbanding sebelum ini, kata Ketua Pengarah Kastam Datuk T. Subromaniam. 

Menurut beliau, proses permohonan dan pengurusan SST akan diuruskan dengan kaedah yang berbeza berbanding terdahulu dari aspek pemfailan dan pembayaran selain mengurangkan kerenah birokrasi. 

“Sukacita saya nak umumkan pelaksanaan SST 2.0 agak berbeza daripada SST yang dulu kerana ia lebih mudah dari segi pemfailan. Dahulu proses secara manual sekarang semua elektronik dari segi penyata dan bayaran.

“Ini akan kurangkan kerenah birokrasi dan kurangkan kos kepada perniaga. Sistemnya sangat simple. SST dulu nak mohon banyak borang, macam-macam sekarang dimudahkan permohonan melalui sistem dan kita akan luluskan,”katanya. 

Subromaniam memberi jaminan pemantauan terhadap peniaga juga akan menjadi mudah apabila dianggarkan kira-kira 100,000 peniaga terlibat dengan SST berbanding 400,000 peniaga semasa Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

“Semasa pelaksanaan GST kita sudah pun ada data 472,000 peniaga, tetapi di bawah SST kita jangkakan kurang dari 100,000.

“Jadi kita tahu siapa mereka, data-data itu ada pada kerajaan sekarang. Kita masih lagi boleh perhatikan peniaga-peniaga,” ujarnya. 

Subromaniam terdahulu merasmikan sesi taklimat dan penerangan bersama industri di Kompleks Kastam Wilayah Persekutuan. 

Menyifatkan GST merupakan cukai yang lebih kompleks namun dapat dilaksanakan dengan jayanya oleh kerajaan sebelum ini, beliau turut optimis dengam pelaksanaan SST yang dijangkakan bermula September naniti. 

“Harapan kita adalah Kastam bersama Kementerian Kewangan, kalau kita boleh laksanakan GST yang lebih kompleks dengan jayanya saya tidak melihat kenapa kita tidak boleh laksanakan SST yang mana tidaklah selebar GST dan tidak sekompleks GST. 

“Semasa pelaksanaan GST dulu pada awal pelaksanaan peniaga-peniaga pun kurang faham jadi banyak masalah pelaksanaan, tetapi SST ini ruang lingkupnya kecil jadi mudah kita menangani mereka,” kata beliau. -MalaysiaGazette