Beza umur 18 tahun bukan penghalang buat pelakon Ariff Aziz dan penerbit Datuk A.Aida bergelar suami isteri.
Beza umur 18 tahun bukan penghalang buat pelakon Ariff Aziz dan penerbit Datuk A.Aida bergelar suami isteri pada 21 Julai 2018.

KUALA LUMPUR – Produser filem, Datuk A. Aida kembali berkahwin buat kali ketiga selepas sah bergelar isteri kepada pelakon muda, Ariff Aziz, 29, pukul 9.00 malam tadi.

Pasangan pengantin dinikahkan oleh jurunikah Ustaz Mohammad Imran Nasohah yang juga Imam 2 Masjid Darul Ehsan, Subang Jaya.

Ariff atau nama sebenarnya Wan Izma Ariff Abd Aziz memberikan mas kahwin sebanyak RM300 dan wang hantaran RM20,000.

Sementara itu, Ariff pula menerima lima dulang yang dibalas dengan jam tangan jenama Hublot, cincin, beg bimbit jenama Louis Vuitton (LV), minyak wangi jenama Chanel serta kuih-muih dan manisan.

Majlis pernikahan yang serba ringkas tetapi meriah yang berlangsung di Dorsett Grand Hotel, Subang itu dihadiri tetamu yang terdiri daripada sanak saudara pasangan pengantin dan rakan rapat.

Majlis resepsi kedua-dua mempelai dijadual akan diadakan di rumah peranginan A. Aida di Janda Baik, Pahang pada 20 April 2019 sempena tarikh hari lahir A. Aida.

A. Aida pernah melalui tiga alam perkahwinan sebelum ini termasuklah dengan Ameng (Spring) dan dikurniakan tiga orang anak melalui dua perkahwinan.

Dia dan Ariff Aziz mula kenal sejak tahun 2015 ketika Ariff bekerjasama dalam projek drama namun baru mula bercinta sejak tiga bulan lalu.

Pada 4 Julai lalu, Ariff membuat kejutan dengan melamar A. Aida di sebuah restoran Arab di Kampung Baru, Kuala Lumpur dengan memberikan sebentuk cincin. – MalaysiaGazette