Pengerusi Jawatankuasa Khas TVET, Nurul Izzah Anwar bercakap pada sidang media sambil diiringi Menteri Sumber Manusia, YB M. Kulasegaran selepas selesai mempegerusikan Mesyuarat Khas TVET di Pejabat YB Menteri Sumber Manusia,Kementerian Sumber Manusia, Kompleks D, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2018

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik berkata perlantikan Nurul Izzah Anwar (PH-Permatang Pauh) sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal (TVET) bertujuan untuk memecahkan stigma jantina yang membelenggu bidang berkenaan.

Menurut beliau, tujuan utama lantikan itu adalah bagi mengelakkan TVET yang dikaitkan dengan bidang 3D (kotor, bahaya dan sukar) untuk kaum lelaki sahaja.

“Perlantikan Nurul Izzah Anwar sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pemerkasaan Pendidikan Latihan Teknikal (TVET) ini adalah inisiatif kementerian untuk memecahkan stigma bahawa TVET hanya dipelopori oleh kaum lelaki sahaja, lantas berupaya meningkatkan minat wanita untuk menceburi bidang TVET,” katanya menjawab pertanyaan lisan daripada Datuk Seri Dr. Ismail Muttalib (BN-Maran).

Ismail bertanya mengenai keperluan pelantikannya Nurul Izzah Anwar (PH- Permatang Pauh) sebagai pengerusi TVET dan apakan peranan dan sumbangan yang dapat diberikan oleh beliau.

Menurut Maszree, Nurul Izzah merupakan orang muda yang dinamik dan berkeupayaan untuk mengetuai kumpulan pakar.

“Sebagai orang muda, beliau mempunyai misi yang dinamik yang diperlukan kementerian dalam memacu hala tuju TVET negara, yang mana sasaran adalah orang muda,” jawab beliau.

Pada 21 Jun lalu, Maszree mengumumkan perlantikan Nurul Izzah bagi memperkasakan dan menaik taraf TVET. -MalaysiaGazette