KUALA LUMPUR – Ahli Lembaga Pengarah Malaysia Airlines Berhad (MAB) perlu melepaskan jawatan selepas semua pengurusan tertinggi Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) berbuat demikian.

Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (NUFAM) berkata, tanggungjawab itu perlu dipikul oleh Lembaga Pengarah MAB selepas syarikat itu tidak menunjukkan prestasi yang baik sejak beberapa tahun lalu dan gagal melaksanakan polisinya.

“Lembaga Pengarah MAB sepatutnya meninggalkan syarikat itu selepas ‘bos’ mereka di Khazanah Nasional meletakkan jawatan,” kata NUFAM yang mengambil kira pelantikan mereka dibuat oleh Khazanah.

Kesatuan itu mendakwa MAB telah menunjukkan prestasi buruk selepas pelan pemulihan semula dan usaha memulihkannya gagal.

“MAB mengalami krisis kewangan menyebabkan syarikat itu terpaksa mengumumkan untuk mencari lebih banyak dana bagi membeli pesawat baru. Ini menunjukkan pengurusannya yang lemah.

“MAB tidak boleh membeli pesawat apabila mereka tahu tiada kemampuan untuk berbuat demikian,” ujarnya sambil mendakwa MAB telah mengalami kerugian berterusan lebih RM1 bilion sejak ia dirombak pada tahun 2015.

Lantaran itu, ahli lembaga syarikat itu perlu meninggalkan MAB secara bermaruah, selari dengan polisi Kerajaan Pakatan Harapan – mereka yang gaga menguruskan syarikat milik kerajaan perlu meletakkan jawatan.

NUFAM mendakwa, syarikat itu ‘menderita’ sejak sekian lama disebabkan salah urus yang akhirnya menyebabkan ribuan pekerja terpaksa diberhentikan.

Khazanah Nasional menyalahkan pekerja-pekerja yang didakwa terlalu ramai dan bukannya mengakui kesalahan mereka dalam semua rancangan penyusunan semula mereka sejak pelupusan harta secara besar-besaran (WAU) hinggalah yang terbaharu.

“Apa yang mereka lakukan ialah membeli lebih banyak kapal terbang baru walaupun syarikat kehabisan wang,” katanya.

NUFAM berkata, meskipun kesatuan itu berjuang mengkritik pengurusan tetapi suaranya diabaikan.

Ini termasuk mengambil dua ketua pegawai eksekutif dari luar yang kemudiannya meninggalkan syarikat itu.

“Dan, hari ini NUFAM masih menerima banyak aduan daripada kakitangan MAB tentang polisi-polisinya yang kabur dan kerap bertukar.

“Orang ramai semakin hilang keyakinan bagaimana MAB diuruskan. Jadi, cara berbaik adalah pengurusan MAB wajar meninggalkan syarikat tersebut. – MalaysiaGazette