Khalid Samad
Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad bercakap pada sidang media selepas selesai program lawatan ke Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu di Kampong Bharu, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 JULAI 2018

KUALA LUMPUR – Kerajaan akan menyemak semula pelan induk Kampung Baru yang merupakan penempatan Melayu di tengah-tengah ibu kota.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata, pihaknya perlu mengkaji semula pelan sedia ada dan akan meminta pandangan pakar.

“Kita perlukan pelan induk yang lebih moden untuk Kampung Baru. Saya akan bangkitkan isu ini kepada Perdana Menteri (Tun Dr. Mahathir Mohamad),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat di Yayasan Kampung Baru di Jalan Raja Abdullah di sini petang tadi.

Khalid seterusnya berkata, perbincangan mengenai pelan induk berkenaan akan dibuat dalam beberapa bulan akan datang.

Katanya lagi, pembangunan semula Kampung Baru dilakukan dan ia merupakan sesuatu yang tidak boleh dihalang.

“Kita perlu melihat model perniagaan yang boleh dilaksanakan. Kita juga perlu melibatkan pihak berkepentingan,” ujar beliau.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, salah satu isu yang menyebabkan pembangunan itu tertangguh disebabkan masalah untuk mencari waris-waris pemilik tanah.

Ujarnya, bagi mengatasi masalah itu pihaknya akan mewujudkan satu tabung amanah.

“Sekiranya gagal menemui waris kita akan memulakan tabung amanah dan bila kita menemui mereka, mereka akan diberi pampasan,” jelasnya. – MalaysiaGazette