Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik bercakap kepada media ketika menghadiri sesi perbahasan di Dewan Rakyat, Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL, 01 OGOS 2018
Dr Maszlee Malik

KUALA LUMPUR – Menteri Pendidikan, Maszlee Malik melahirkan rasa curiga dengan sikap segelintir Naib Canselor (VC) universiti tempatan yang didakwa memberi maklumat kepada pemimpin Barisan Nasional.

Ini kerana, jelas Ahli Parlimen Simpang Renggam itu, bekas Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh mengetahui pertemuan beliau dengan pengurusan tertinggi universiti baru-baru ini.

“Pertamanya saya rasa pelik, bagaimana beliau (Idris) tahu adanya meeting (mesyuarat)? Sudah tentunya beliau mendapat maklumat daripada Naib Canselor yang masih berkomunikasi dengan beliau.

“Naib Canselor ini bekerja untuk kementerian ataupun bekerja untuk pembangkang? Jadi itu satu soalan yang besar,” katanya kepada media di lobi Parlimen di sini hari ini.

Maszlee berkata demikian ketika mengulas kenyataan Idris yang mendakwa beliau memberi amaran semasa pertemuan dengan semua Naib Canselor baru-baru ini.

Maszlee menjelaskan, mesyuarat tersebut diadakan untuk membentangkan hala tuju kerajaan baru dan sistem pendidikan negara.

“Ternyata mereka masih berhubung dengan mantan Menteri dan pemimpin BN, membuktikan mereka terlibat dengan (pihak) sana tetapi saya memberi amaran? Tidak ada.

“Cuma saya ada menawarkan kepada mereka supaya meletakkan jawatan tanpa mengambil tindakan jikalau mereka rasa tidak boleh melaksanakan agenda reform ataupun bersama-sama memacu perubahan di universiti awam untuk membawa agenda autonomi atau pun agenda perubahan secara menyeluruh,” katanya.

Maszlee juga menegaskan bahawa beberapa Naib Canselor secara terbuka berkempen untuk BN pada Pilihan Raya Umum lalu dan menghukum pensyarah yang tidak berkongsi pandangan politik yang sama.

Pagi tadi, dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching mengesahkan kepada Idris bahawa Maszlee telah menemui Naib Canselor dan Timbalan Naib Canselor universiti awam baru-baru ini.

Bagaimanapun Nie Ching menegaskan beliau tidak mengetahui dakwaan Maszlee memaksa mereka untuk meletak jawatan kerana tidak berada dalam pertemuan tersebut.

Namun keadaan di Dewan Rakyat menjadi tegang apabila Idris terus mendesak Nie Ching menjawab sama ada beliau mengetahui butiran lebih lanjut.

Idris kemudian bertanya apa perlunya kementerian mengenepikan ahli lembaga pengarah di universiti awam, Nie Ching menjawab, ia adalah selari dengan dasar kerajaan sedia ada. – MalaysiaGazette