Mohamed Khaled Nordin
Mohamad Khaled Nordin

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan sepatutnya berusaha memperkukuh dan memperkemaskan sistem pendidikan sekolah Cina tempatan berbanding berusaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersama (UEC).

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, tanpa UEC selama ini, sistem pendidikan tempatan telah dan sentiasa mengiktiraf kepentingan bahasa Mandarin di sekolah-sekolah aliran Cina tempatan yang berada di bawah sistem pendidikan negara.

Jelasnya, UEC adalah sijil Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) yang dikelolakan Dong Zong dan Jiao Zong yang diketahui satu sijil peperiksaan yang tidak menggunakan sukatan pelajaran dari negara ini.

Ia menggunakan sepenuhnya sukatan dan pengisian yang dicedok dari Taiwan, tanpa saringan, kawalan dan pemantauan piawai oleh Kementerian Pelajaran Malaysia.

Malah, pakar pendidikan dan pihak Kerajaan Malaysia tidak langsung terlibat atau dirujuk dalam penyediaan sukatannya.

Kandungan, sukatan serta objektif yang disasarkan dalam kandungan sistem peperiksaan ini bukanlah berasaskan Falsafah Pendidikan Negara yang diguna pakai selama ini.

“Mencari alternatif luar yang tidak selari dengan aspirasi tempatan bukanlah satu jalan yang baik dan mampu menyelesaikan kekurangan yang ada sebaliknya,” katanya di sini sambil menyifatkan cubaan untuk mengiktiraf sistem dan sukatan peperiksaan ini akan menimbulkan kontroversi yang berulang-ulang.

Khaled menambah, pengiktirafan UEC akan menyebabkan wujudnya sistem yang terpisah-pisah dan saling berbeza antara satu sama lain.

Perkara ini akan menyebabkan sistem pendidikan negara tidak dapat diseragam dan disepadukan dengan baik.

Ia secara langsung dan jelas memberi mesej moral bahawa sistem pendidikan negara adalah amat teruk, tidak baik dan gagal.

“Pengiktirafan peperiksaan ini akan terus menjadi salah satu punca menggagalkan usaha berterusan kerajaan untuk menyuburkan perpaduan dan rasa kebersamaan rakyat Malaysia, selain merendahkan Bahasa Kebangsaan.

“Pendidikan yang disampaikan menggunakan bahasa pengantar, selain Bahasa Kebangsaan sudah pastilah akan dilihat sebagai tidak mengangkat keluhuran Perlembagaan.

“Ia juga membuka ruang dan jalan yang menyebabkan isu pendidikan dipolitikkan,” tambah Khaled. – MalaysiaGazette