Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.
Menteri Belia dan Sukan yang juga Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman bercakap kepada media di lobi Parlimen, Kuala Lumpur. foto HAZROL ZAINAL, 02 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Belia dan Sukan menamatkan kontrak perkhidmatan sembilan individu lantikan politik termasuk pengerusi serta pengarah agensi-agensi di bawahnya, kata Menterinya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau berkata mereka yang terbabit antaranya dari Perbadanan Golf Subang, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia (IYRES), Perbadanan Stadium Malaysia dan Institut Sukan Negara.

“Apabila ada lantikan politik ini, perlu ada rombakan dan pembersihan semula. Saya sudah menghantar nota terima kasih dua minggu lalu dan menyingkirkan mereka serta-merta,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen, hari ini.

Jelasnya, individu berkenaan yang mempunyai kedudukan dalam UMNO seperti Ketua Pemuda atau Ketua Bahagian akan digantikan dengan mereka yang bukan dalam kalangan ahli politik.

Katanya, secara prinsipnya, pengganti yang akan mengisi kekosongan itu haruslah mereka yang berpengalaman dalam bidang masing-masing, bekas atlet atau tokoh korporat.

Dalam perkembangan lain, Syed Saddiq berkata penganjuran perlumbaan Formula Satu (F1) tidak akan diteruskan, susulan ia tidak menjana pendapatan negara.

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat jemaah menteri dan kerajaan tidak mahu menumpukan kepada F1 sahaja, tetapi sukan pemotoran yang lain.

Semalam, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad tidak menolak kemungkinan perlumbaan F1, yang kali terakhir dihoskan Malaysia tahun lepas, diadakan semula di negara ini.

— BERNAMA