Ketua Pergerakan Malaysiaku Tanahairku, Raggie Jessy bercakap pada sidang media khas di Shah Village Hotel, Petaling Jaya, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 03 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang dikenali sebagai Pergerakan Malaysia Tanahairku mendakwa Kerajaan Pakatan Harapan ada rancangan untuk menamatkan perkhidmatan Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dalam masa terdekat.

Menurut Ketua Pergerakan tersebut,  Raggie Jessy, pihaknya sudah mendapat maklumat yang dianggap ‘sahih’ tentang penamatan ‘Penugasan Kawalan Keselamatan Pusat-Pusat Khidmat Komuniti Rela atau PKKR sejak beberapa minggu lepas.

Dakwa Raggie, selepas khidmat PKKR, ianya akan disusuli dengan penamatan Rela di seluruh negara dalam masa terdekat.

“Sebenarnya kerajaan yang ada sekarang ini amat takut dengan kekuataan Rela, takut badan ini berkemungkinan akan menjadi ‘third force’ dan menjadi alat kepada kerajaan terdahulu terutamanya bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apa yang mereka tidak faham, perkhidmatan Rela bukan wujud dalam tempoh yang singkat sebaliknya sejarah membuktikan ianya sudah ada ketika zaman darurat lagi pada 1948 lagi.

“Kekuataan dan pengaruh yang dimiliki oleh Rela sebenarnya digeruni sehingga perkhidmatan ini akan bakal ditamatkan, kita pula terpaksa bersuara kerana pihak kami diberitahu beberapa anggota penting dalam kalangan Rela yang sepatutnya menghadiri sidang media hari ini telah diberi amaran sekeras-kerasnya.

“Oleh yang demikian, kita tidak dapat memberikan pihak media suara sebenar anggota Rela yang kini sedang hidup dalam keresahan apakah akan terjadi kepada badan ini,” katanya kepada pemberita pada sidang media sebentar tadi.

Jelas Raggie, sesebuah agensi tidak wajar ditamatkan ‘sesuka hati’ hanya kerana khuatir tidak senada dengan kerajaan sekarang atau alasan ‘lantikan politik’.

Sebaliknya, semua pihak perlu duduk semeja sebelum sebarang keputusan diambil.

“Dalam hal ini tidak ada sebarang perbincangan. Kerajaan PH bertindak sesuka hati dan memberikan pelbagai alasan termasuk lantikan politik atau kesetiaan kepada kerajaan terdahulu.

“Sebenarnya tindakan seperti ini bukan sahaja tidak wajar, malah tidak betul. Rakyat sedang melihat, mungkin suara-suara yang bangkit lantang akan cuba di tutup tapi sehingga bila? Rakyat nampak,” tegasnya.

Semalam, Rela mengesahkan penamatan penugasan kawalan keselamatan di PKKR di seluruh negara melalui satu kenyataan rasmi.

Kenyataan rasmi berkenaan dikeluarkan sejurus selepas penamatan PKKR menjadi viral dan ‘kecoh’ dalam laman sosial.

Rela dalam kenyataannya berkata, penilaian itu merangkumi aspek keperluan penugasan dan kedudukan kewangan semasa jabatan.

“Surat yang menjadi tular di media sosial adalah mengenai penamatan Penugasan Kawalan Keselamatan PKKR dan bukannya pemotongan elaun kepada semua ahli Rela,” katanya.

Menurutnya, penamatan penugasan rondaan PKKR ini tidak melibatkan penugasan lain masih berjalan seperti biasa.

Sebelum ini, sekeping surat yang bertarikh 30 Julai 2018 menjadi tular menyatakan semua penugasan anggota Rela yang berbayar ditamatkan berkuat kuasa 1 September 2018.

Menurut surat itu, sebanyak 98 pusat pusat khidmat komuniti yang akan terkesan dengan penamatan khidmat Rela tersebut.

Surat rasmi yang dipercayai telah ditandatangani oleh Pengarah Bahagian Operasi, PjR Mohamad Razib bin Buhaini, bagaimanapun menyatakan anggota Rela boleh meneruskan tugas-tugas yang tidak melibatkan elaun.

Sebelum ini, elaun anggota Rela telah dinaikkan daripada RM6 kepada RM8 sejam manakala RM7.80 kepada RM9.80 sejam bagi seorang pegawai.- MalaysiaGazette