Arturo Vidal.

SEPANYOL – Barcelona secara rasminya mengesahkan telah memuktamadkan perjanjian bersama bintang Bayern Munich, Arturo Vidal hari ini.

Bintang antarabangsa Chile yang kini di penghujung kontrak di Bayern Munich menandatangani untuk yuran perpindahan yang belum didedahkan jumlah sebenar.

Difahamkan Barcelona melengkapkan pembelian pemain itu dengan yuran berjumlah sekitar 26 juta pound.

Barcelona terdesak mencari pengganti untuk Paulinho dan Andres Iniesta.

Persaraan Iniesta telah memberi kesan besar dalam skuad itu sepanjang musim La Liga yang lepas.

Pemain ini bakal menjalani ujian kesihatan sebelum diperkenalkan secara rasmi kepada penyokong kelab itu.

Dalam kenyataan rasmi kelab itu berkata:” FC Barcelona dan FC Bayern Munich mencapai perjanjian untuk perpindahan pemain Arturo Vidal.

“Perjanjian itu adalah bertempoh tiga tahun kontrak dan perlu menjalani ujian perubatan dalam masa beberapa hari lagi.

“FC Barcelona akan mengumumkan semua mengenai kehadiran pemain itu secara rasmi kelak”.

Laporan sebelum ini memaklumkan Vidal akan dikemukakan sebagai pemain Barca paling cepat Isnin ini.

Pada beberapa musim sebelum ini pemain itu dikaitkan dengan Manchester United tetapi the Catalans berjaya mengikat khidmat pemain yang penuh dengan pengalaman beraksi dalam Liga Juara-Juara Eropah.

Vidal, 31,  juga merupakan bekas pemain Juventus yang membantu kelab berkenaan menjulang kejuaraan Sire A.

Bersama Bayern Munich, Vidal telah menjulang tiga gelaran Bundesliga dan gelaran Piala Jerman di Allianz Arena.- MalaysiaGazette