Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 08 OGOS 2018.
Ahli Parlimen Bagan Datuk merangkap Ketua Pembangkang Dewan Rakyat, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kehadiran Datuk Seri Najib Razak pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Kandis adalah jemputan daripada calon BN sendiri.

Katanya, ia berdasarkan semakan dengan calon PRK tersebut, Datuk Lokman Adam yang bertindak menjemput sendiri bekas perdana menteri itu bagi menghadiri sesi kempen di kawasan berkenaan.

“Saya telah lakukan semakan dan calon sendiri yang telah menyatakan kehadiran Najib.

“Tentunya calon mempunyai niat yang baik, apa pun pandangan daripada pihak yang berbeza kita harus berlapang dada dan berfikiran terbuka,” katanya di lobi Parlimen hari ini.

Ahmad Zahid memberikan responnya terhadap pandangan terbuka bekas Menteri Kewangan Kedua, Datuk Johari Abdul Ghani.

Johari dalam satu kenyataan terbuka hari ini mempersoalkan strategi UMNO dalam mengetengahkan Najib sebagai salah seorang tokoh yang aktif berkempen bagi PRK Sungai Kandis baru-baru ini.

Tulis beliau; “Perlukah UMNO merehatkan Datuk Seri Najib dari menyertai kempen-kempen pilihan raya akan datang? Kita perlu ingat bahawa UMNO bukan berkempen untuk ahli-ahlinya sahaja tetapi kepada pengundi Sungai Kandis yang mana soal persepsi boleh menentukan kalah menang seseorang calon.”

Menjawab perkara itu, Ahmad Zahid berkata, ada kaedah tertentu oleh ahli UMNO sekiranya mempunyai perbezaan pendapat mengenai isu itu.

Ujarnya, seseorang pemimpin yang sudah tidak berkuasa perlu dihormati dan tidak dicaci sewenang-wenangnya.

“Bagi saya, janganlah ‘memijak kepala seseorang apabila tengkuk sudah berada di paras bawah pinggang’.

“Dalam keadaan itu kita harus mempunyai kaedah tasawuf biar pun kita tidak bersetuju dalam beberapa langkah yang dilakukan oleh seseorang,” katanya lagi.

Dalam pandangan terbuka sebanyak 19 perenggan itu, Johari  berkata, parti itu harus melupakan era UMNO terdahulu yang kalah di PRU-14.

Ujarnya, UMNO perlu mengatasi masalah persepsi integriti dan kredibiliti ini jika mahu terus relevan.

“UMNO kini sudah pun ada presiden dan kepimpinan baru. Era presiden terdahulu sudah pun berlalu menjadi sejarah. Jika UMNO tidak berubah dan masih berterusan mempertahankannya legasi dan isu-isu yang membawa kepada penolakannya di PRU-14, maka tidak mustahil jika UMNO juga akan menjadi sejarah.

“Contohnya, ramai dalam kalangan kita tidak faham isu 1MDB dan SRC dan sebahagian dari kita tidak faham isu ini secara total,” katanya lagi. -MalaysiaGazette