Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media ditemani isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 OGOS 2018
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim bercakap pada sidang media ditemani isterinya yang merupakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kanan) di Ibu Pejabat PKR, Petaling Jaya, Selangor. foto FAREEZ FADZIL, 09 OGOS 2018

KUALA LUMPUR – Bakal Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan beliau tidak tergesa-gesa untuk menjawat jawatan Perdana Menteri ketika ini.

Sebaliknya, menurut bekas Timbalan Perdana Menteri itu, beliau mahu memberi peluang serta mandat kepada Tun Mahathir Mohamad untuk terus mengemudi kepimpinan negara seperti perancangan sebelum ini ketika dirinya masih dalam tahanan di penjara.

Menurut Anwar Ibrahim, belum tiba masa untuk beliau tergesa-gesa dan terburu-buru untuk menjadi Perdana Menteri dan tidak akan sesekali memberi tekanan seumpama itu kepada Tun Mahathir.

“Ada andaian kata proses ini akan berlaku dalam dua tahun atau lima tahun. Tidak ada sebab mengapa perlu segerakan proses pelantikan saya sebagai Perdana Menteri sebaliknya ketika ini saya lebih fokus dengan pemilihan parti.

“Proses peralihan kuasa ini akan berlaku dalam tempoh dua tahun akan datang atau mungkin lima tahun akan datang. Saya tidak tergesa-gesa dengan proses ini malah ini juga merupakan perancangan ketika saya dalam penjara lagi. Kepimpinan parti juga ada bertanyakan saya tentang perkara ini, saya kata tidak perlu ketika ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media berhubung proses pemilihan parti itu di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya di sini hari ini yang turut dihadiri Presidennya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Dalam pada itu, Anwar Ibrahim juga mendedahkan dirinya bercadang untuk berjumpa dengan Tun Mahathir bagi membincangkan usaha membuat perubahan dalam institusi Parlimen dalam masa terdekat.

“Saya mahu diberikan peluang untuk melakukan peluang mereformasikan Parlimen supaya ianya boleh berfungsi dengan baik dalam negara berdemokratik.

“Kalau saya dipilih untuk masuk Parlimen, saya akan menjadi penyokong kerajaan, itu sahaja kedudukan saya. Ada orang kawasan pelawa saya jadi Ahli Parlimen, itu saya amat hargai. Tak janggal kalau ada pelawa,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menempelek pandangan mana-mana pihak yang seolah-olah menantikan atau mendoakan ‘kematian’ Ahli Parlimen bagi memberi peluang untuknya bertanding.

“Saya ikuti juga, maknanya kalau semula jadi tunggu MP (Ahli Parlimen) mati, ini pandangan bengong yang saya dengar.

“Yang saya tahu, pandangan konsensus dari awal bahawa peralihan kuasa boleh berlaku dalam tempoh terdekat melalui penyertaan saya dalam Parlimen. Tidak baik doakan seseorang itu meninggal,” tegasnya. – MalaysiaGazette