Gambar Hiasan. foto AFFAN FAUZI.

TIADA siapa yang mahu dilahirkan dalam kehidupan yang naif, daif serba kekurangan dan kemiskinan.

Namun, itulah indahnya Allah SWT menciptakan manusia dengan kepelbagaian tingkatan kondisi kehidupan, ada yang miskin, sederhana dan kaya.

Ada yang miskin, teramat miskin dan ada yang kaya teramat kaya.

Lebih malang lagi sang miskin menjadi bahan makanan sang kaya dan sang kaya sebahagiannya mengaut kekayaan dengan cara Qarun dan Hamaan.

Namun tidak kurang juga ramai sang kaya mewarisi jejak tokoh korporat ulung Abdul Rahman Ibnu ‘Auf.

Persoalannya, kegiatan memungut derma atau peminta sedekah sudah menjadi satu sindrom yang sedikit sebanyak memberikan gambaran bahawa rata-rata pelakunya terdiri daripada orang orang Islam baik atas jenama individu dan yang paling laris di bawah jenama pusat pendidikan tahfiz serta anak yatim.

Ramai yang tidak menolak kemungkinan bahawa aktiviti peminta sedekah yang bertebaran di kawasan kedai makan, hentian rehat lebuh raya, pintu-pintu bank dan lain-lain ada terdapat elemen memeras usaha di sebalik kenaifan golongan yang benar miskin.

Apa yang boleh kita lakukan dalam menangani masalah ini? Mahu marah? Atau mengherdik? Sesekali tidak.

Sebab dalam al-Quran Allah SWT ada berfirman: “Sebab itu, terhadap anak yatim janganlah kamu berlaku sewenang-wenang. Dan terhadap orang yang minta-minta, janganlah kamu menghardiknya.Dan terhadap nikmat Tuhanmu, maka hendaklah kamu siarkan.” (Surah Al Dhuha).

Persoalan ini sewajarnya pihak pemegang amanah seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam di negeri-negeri sewajibnya turun padang mencari lokasi keberadaan mereka dan berikan khabar gembira tentang bantuan yang mereka tidak perlu untuk berhempas pulas mengemis kerana masih kedapatan agensi-agensi di bawah pemerintah yang seharusnya melebarkan motto “masih ada yang sayang” buat mereka.

Persoalan yang kita halusi sekarang adakah kegiatan ini didalangi pihak-pihak tertentu berkepentingan yang dinamakan sindiket?

Atau semangnya kegiatan ini semacam dipejam mata kerana ianya tidak begitu kronik.

Isu mengemis ini bukan satu sudut pandang kemiskinan dan kenaifan jika kita memerhatikan secara tuntas malah ianya sudah menjadi satu keseronokan dan satu kerjaya mudah.

Kita semua boleh gunakan sifir RM1 seorang maka dikali dengan jumlah orang setiap malam dan setiap hari,jawapannya pasti kita akan terkejut.

Hatta yang menjadi karyawan di pejabat kerajaan dan swasta pun tidak memperolehi sebanyak itu.

Maka adalah lebih kelihatan mulia jauh bagi mereka yang menggunakan teknik jualan lansung (produk dan barangan) kerana itu adalah modus operandi perniagaan masing-masing tetapi ia tidak termasuk orang-orang yang menggunakan jenama tahfiz amal, anak yatim dan lain-lain lagi.

Ada pun jika logik akal, adakah masuk dek pemikiran manusiawi jika benarlah pihak-pihak tahfiz menggunakan kanak-kanak baik lelaki atau perempuan untuk menggalas tugas ini sehingga larut malam berseorangan.

Apakah tidak terfikir akan bahaya serta keselamatan mereka.
Sayao amat berharap serta menggesa pihak terbabit seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Negeri, Lembaga / Pusat Zakat Negeri serta beberapa agensi berkaitan agar tampil berkerjasama dalam menyelesaikan polemik ini demi kebaikan semua pihak.

Tuan Asmawi Tuan Umar
Tuan Asmawi Tuan Umar

TUAN ASMAWI TUAN UMAR
Penasihat Agama & Media Persatuan Pengguna Islam Malaysia