Paul Pogba menafikan dakwaan berlaku perbalahan antara dirinya dengan Alexis Sanchez untuk mengambil sepakan penalti.

LONDON – Kemenangan pertama Manchester United dalam aksi pembukaan Liga Perdana Inggeris ke atas Leicester City diselubungi kontroversi apabila kaptennya, Paul Pogba dan penyerang, Alexis Sanchez berebut mengambil sepakan penalti.

Red Devils menang 2-1 ke atas Leicester City awal pagi tadi menerusi jaringan  Pogba dan Luke Shaw ketika perlawanan berbaki tujuh minit.

Namun dalam satu rakaman semasa di atas padang, Sanchez dilihat cuba mengambil bola daripada Pogba sebelum pemain kebangsaan Perancis itu menyempurnakan sepakan penalti tersebut untuk gok pertama.

Pogba pantas menepis dakwaan perebutan tugasan mengambil sepakan penalti dan menafikan dakwaan berlaku perbalahan antara dirinya dengan Sanchez selepas pemain kebangsaan Chile itu dilihat tidak berpuas hati.

Dia turut menjelaskan, United tidak memiliki individu khas yang ditugaskan untuk menyempurnakan penalti.

“Ia bergantung kepada situasi walaupun ada nama yang disenaraikan jurulatik. Jadi saya mengambil keputusan untuk menyempurnakannya kerana nama saya turut berada dalam senarai.

“Namun pada perlawanan akan datang mungkin saya serahkan tugas itu kepada Sanchez pula.

“Perkara ini tidak menjadi masalah kerana kemenangan pasukan lebih penting,” katanya. – MalaysiaGazette