Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) diiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail (dua kiri) dan Menteri Pertahanan, Yb Mohamad Sabu (kanan) bercakap pada sidang media Sempena Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) di Kompleks Perdana Putra, Putrajaya. foto SYAFIQ AMBAK, 13 OGOS 2018

PUTRAJAYA- Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti Rasuah (JKKMAR) hari ini memutuskan untuk mengurangkan kuasa Perdana Menteri mengenai pelantikan Ketua Audit Negara dan anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Menurut Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad, segala lantikan kepada jawatan itu akan berada dibawah bidang kuasa Jawatankuasa Pemilihan Parlimen yang akan ditubuhkan kelak.

Langkah itu kata Mahathir, untuk memperketatkan pentadbiran kewangan negara.

“Kita telah mengurangkan kuasa Perdana Menteri dan menambah kuasa Parlimen agar kegiatan dalam kerajaan dapat dilihat dan akan ada perbahasan berkenaan perkara yang menimbulkan keraguan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat berkenaan.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Azmin Ali, Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Liew Vui Keong.

Dalam pada itu, Mahathir berkata, kerajaan juga tidak akan mempunyai kuasa untuk menjatuhkan hukuman, menyingkirkan dan menurunkan pangkat Ketua Audit Negara.

“Perkara yang tidak mungkin kita lakukan adalah berkenaan Pindaan Perlembagaan kerana kita tiada dua pertiga ahli dalam Parlimen melainkan mendapat sokongan pembangkang,” katanya.

Bahkan menurut Mahathir, segala bajet yang akan diperuntukkan kepada badan-badan tersebut juga akan diputuskan oleh Jawatankuasa Pemilihan Parlimen. – MalaysiaGazette