nufam
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia (NUFAM) mendakwa Malaysia Airlines Berhad (Malaysia Airlines) berhadapan dengan pemberhentian kakitangan sejak tiga tahun lalu.

Ia membabitkan jurutera, anak kapal dan juruterbang.

Pemberhentian kerja ini dipercayai disebabkan rasa tidak berpuas hati dengan pengurusan syarikat berkenaan yang didakwa terlalu fokus kepada pengurangan kos pekerja.

Jika dahulu, Malaysia Airlines membuang 6,000 kakitangannya, kini syarikat penerbangan itu terpaksa mencari kakitangan pula.

vacancySekretariat NUFAM berkata, Malaysia Airlines sepatutnya melihat semula kedudukan pengurusan dan menyelesaikannya jika mahu syarikat penerbangan itu berjaya semula.

“Seperti kami nyatakan sebelum ini, Malaysia Airlines akan gagal sekali lagi jika mereka terus mengendalikan syarikat dengan kepentingan pihak-pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Baru-baru ini, Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines, Kapten Izham Ismail berkata, syarikat itu memerlukan 150 orang juruterbang lagi bagi memastikan kelancaran operasi.

Syarikat itu kini mempunyai 927 orang juruterbang.

Kesatuan itu berkata, kejatuhan Malaysia Airlines sebenarnya bermula apabila syarikat itu membuang kakitangan barisan hadapan untuk penstrukturan semula pada tahun 2014.

“Tengoklah sekarang, mereka terpaksa mencari orang untuk mengisi kekosongan jawatan dan baru-baru ini Malaysia Airlines menghantar mesej kepada kakitangan diberhentikan supaya datang bekerja semula.

“Ini jelas membuktikan syarikat penerbangan ini tidak boleh beroperasi dengan 14,000 kakitangan sahaja,” ujarnya.

NUFAM mempertahankan bahawa Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) bertanggungjawab ke atas situasi Malaysia Airlines sekarang.

Ia yakin Khazanah sebenarnya tidak berupaya menguruskan syarikat penerbangan itu, meskipun didesak supaya Malaysia Airlines diberikan kepada pakar penerbangan untuk menguruskannya.

Malah, setakat ini, dakwa NUFAM, Malaysia Airlines masih belum menunjukkan pemulihan selepas penstrukturan dijalankan sejak tiga tahun lalu.

Disebabkan kelemahan itu, Malaysia Airlines masih belum menunjukkan tanda-tanda untuk meraih keuntungan.

Kesatuan itu juga menolak alasan persaingan sengit dan harga minyak sebagai alasan yang menyebabkan Malaysia Airlines masih belum boleh ‘bangun semula’.

“Kegagalan disebabkan pengurusan syarikat penerbangan yang sering menunding jari kepada kakitangan.

“Hari ini memberi alasan kekurangan juruterbang dan esok pula kekurangan anak kapal dan jurutera. Seperti biasa, sama saja alasannya,” ujar NUFAM.

Sedangkan, dakwanya, Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Malaysia Airlines masih lagi menikmati gaji tinggi.

Pada masa sama, dakwa NUFAM, hanya juruterbang menikmati kenaikan gaji berbanding kakiitangan lain.

“Kita telah membawa isu-isu ini kepada Majlis Penasihat Kerajaan dan Menteri Pengangkutan. Kita sedang tunggu tindakan seterusnya,” ujar beliau. – MalaysiaGazette