Khalid Samad
Khalid Abdul Samad. foto HAZROL ZAINAL, 14 OGOS 2018.

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan tidak akan berkompromi dalam soal perkhidmatan bas di Putrajaya yang terjejas beberapa hari lalu akibat masalah dalaman pengendalinya, Nadiputra yang masih berlarutan.

Menterinya, Khalid Abdul Samad berkata, Perbadanan Putrajaya selaku pemilik syarikat pengangkutan awam itu perlu memastikan operasi bas dimulakan kembali dalam kadar segera.

“Saya telah mengarahkan Perbadanan Putrajaya untuk mengambil tindakan dengan segera, mendapat kerjasama daripada Nadiputra menentukan perkhidmatan bas itu dimulakan kembali dengan segera.

“Namun soal memulakan perkhidmatan bas tiada kompromi, kita nak ianya dimulakan segera dan penyelesaian yang sebaik mungkin di antara pengurusan dan kakitangan (Nadiputra),” katanya dalam sidang media, di lobi Parlimen, hari ini.

Beliau mengulas perkhidmatan bas awam Nadiputra yang disediakan untuk kemudahan penduduk dan orang awam di sekitar Putrajaya tidak beroperasi sejak beberapa hari lalu berikutan pemandu melakukan boikot.

Mengikut maklumat Kesatuan Pekerja Nadiputra, jumlah penumpang tahun ini merosot sehingga purata 76,000 sebulan, berbanding mencecah 150,000 sebulan yang direkodkan sebelum ini, dikatakan akibat pengurangan jumlah dan laluan bas kerana masalah kerosakan.

Khalid memberi jaminan tiada kakitangan Nadiputra akan dihentikan susulan tindakan mereka membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap pengurusan syarikat bas tersebut.

“Kalau ada tindakan terhadap mana-mana kakitangan atas sebab mereka membuat laporan kepada SPRM, maka itu satu tindakan yang tidak boleh diterima atau disokong oleh kementerian saya.

“Soal laporan kepada SPRM adalah hak kakitangan. Sekiranya mereka merasakan ada salah laku, mereka akan dilindungi dan tidak akan diambil tindakan,” tegasnya.

Katanya, sekiranya Nadiputra terus berdegil memecat kakitangan yang terlibat dalam laporan kepada pihak berkuasa itu, ia boleh dianggap sebagai bukti ada salah laku.

“Tiada siapa patut dihukum kerana membuat aduan sah kepada pihak berkuasa seperti SPRM, itu hak dijamin dalam Perlembagaan, di mana Kerajaan Pakatan Harapan akan mempertahankannya

“Kalau kita mengambil tindakan, ia akan ditafsirkan sebagai pengakuan kesalahan,” katanya. – MalaysiaGazette