KUALA LUMPUR – Rakyat di negara ini tidak dilarang untuk menggunakan terma Merdeka bagi merujuk kepada sambutan Hari Kebangsaan 2018 penghujung bulan ini, kata Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM).

Dalam satu kenyataan, KKMM berkata, orang ramai boleh menggunakan terma itu selain Hari Kemerdekaan dan Hari Malaysia yang sering dikaitkan dengan sambutan bersejarah buat Malaysia itu.

“KMM selaku Urus Setia Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia ingin menjelaskan bahawa tiada larangan penggunaan terma “merdeka” bagi merujuk kepada sambutan Hari Kebangsaan.

“Orang ramai boleh menggunakan terma “Hari Kemerdekaan”, “Hari Kebangsaan” dan “Hari Malaysia” untuk mengadakan program-program atau acara berkaitan Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia bagi menyemarakkan dan menggelorakan semangat patriotik,” demikian menurut KKMM.

Kementerian sebelum ini dikatakan telah mengeluarkan garis panduan untuk penyiaran iklan ucapan sambutan Hari Kebangsaan melarang penggunaan perkataan ‘merdeka’ ataupun menyebut bilangan tahun perayaan.

Mengikut Sekretariat Merdeka Unit Pengurusan Acara, Bahagian Khidmat Pengurusan kementerian, garis panduan itu adalah selaras dengan keputusan mesyuarat Jawatankuasa Induk Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 3 Julai lalu.

Jawatankuasa itu membuat keputusan tersebut demi menjaga sensitiviti dan hubungan antara negeri-negeri dalam Malaysia.

Pada tahun-tahun sebelum ini, timbul pelbagai reaksi dan komen terutama dari Sabah dan Sarawak mengenai sambutan perayaan 31 Ogos yang dipanggil Hari Kemerdekaan walhal menurut mereka Malaysia tidak pernah merdeka pada 31 Ogos. -MalaysiaGazette