Dr Ibrahim Ali
Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim digesa menghentikan ‘drama’ kononnya masih berteka-teki dalam soal pemilihan kerusi parlimen untuk ditandingi bagi membolehkan beliau dilantik menjadi Perdana Menteri kelapan.

Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Ibrahim Ali berkata, Anwar sepatutnya meminta isterinya, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail atau anak perempuannya, Nurul Izzah ‘melepaskan’ kerusi bagi memberi laluan kepadanya.

“Saya rasa lebih baik Anwar kena bertanding dalam pilihan raya semula dan di mana dia kena bertanding? Sama ada kerusi isteri dia atau pun anak dia.

“Kenapa nak cari kerusi-kerusi lain? Jangan mengamalkan politik nepotisme. Saya cadang sebaik-baik bertanding di Parlimen Pandan. Wan Azizah letak jawatan.

“Bila Anwar jadi ahli parlimen, terus dilantik menjadi Timbalan Perdana Menteri bersama dengan Tun Dr. Mahathir Mohamad. Boleh dia duduk bekerja dengan Mahathir memahami apa yang dia nak buat.

“‘Jangan dia bergaduh lagi macam dulu, tempiasnya kena pada kita lepas itu mereka minta maaf pula, kita yang teruk,” katanya pada sidang media selepas mengumumkan parti baharunya di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baruhari ini.

Beliau mengulas dakwaan Ahli Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani tentang wujudnya gerakan yang didalangi Pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan, Tun Daim Zainuddin yang didakwa  cuba menghalang Anwar daripada menjadi Perdana Menteri.

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR itu juga mendakwa gambaran itu memberi isyarat Daim cuba melengah atau memperlekehkan Anwar daripada mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Mahathir.

Ibrahim juga berkata, Mahathir wajar diberi peluang untuk meneruskan tugasnya sebagai Perdana Menteri untuk satu penggal dan bukannya dua tahun seperti yang dicadangkan sebelum ini.

“Mahathir pun kena beri peluang, jangan dua tahun. Setidak-tidaknya cukup satu penggal, sampai tempoh Pilihan Raya Umum ke-15, Mahathir letak jawatan, dia tak bertanding, Anwar terajui pilihan raya, dia menang, dia Perdana Menteri.

“Mahathir sudah 94 tahun, lepas itu jangan nak mengada-ngada (jadi Perdana Menteri), dia perlu masa untuk berehat dan Anwar ambil alih,” katanya lagi. – MalaysiaGazette