Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) berbual dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga kiri) ketika sama-sama mengiringi calon Pas ke Pusat Penamaan Calon PRK Seri Setia. - foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018
Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kiri) berbual dengan Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man (tiga kiri) ketika sama-sama mengiringi calon Pas ke Pusat Penamaan Calon PRK Seri Setia. - foto FAREEZ FADZIL, 18 OGOS 2018

PETALING JAYA – Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Setia menyaksikan detik bersejarah bagi Pas dan UMNO dan Malaysia amnya apabila dua parti terbesar orang Melayu itu bekerjasama.

Walaupun mereka tidak bergabung, tetapi kerjasama secara rasmi antara kedua parti itu cukup mengembirakan orang Melayu yang mula merasa tertindas oleh kerajaan baharu, Pakatan Harapan (PH).

Sejarah ini mula terpahat apabila Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berjalan beriringan bersama Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika mereka mengiringi calon Pas, Dr Halimah Ali ke Pusat Penamaan Calon di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) hari ini.

Selain Tuan Ibrahim dan Ismail Sabri, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dan Ahli Majlis Syura Ulamak Pas, Idris Ahmad berpegangan tangan dengan Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Shamsul Anuar Nasarah dan Pengerusi Pemantau Malaysia Baharu, Datuk Lokman Noor Adam.

Lebih sejuk mata memandang apabila Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Datuk Noraini Ahmad dan Ketua Pergerakan Puteri UMNO Malaysia, Datuk Zahida Zarik Khan jalan bersebelahan Dr Halimah.

Ini semua menandakan era baru politik Malaysia, yang mana selama hampir 60 tahun masing-masing membawa haluan sendiri, hari ini termeterai apa yang ditunggu oleh jutaan orang Melayu.

UMNO sejak kalah dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, sembilan daripada 14 rakan parti memutuskan hubungan, meninggalkan lima parti masih kekal dalam Barisan Nasional (BN).

Sejak itu UMNO dilihat bersendirian dalam mengharungi matlamat perjuangannya membela nasib orang Melayu, apabila MCA dan MIC juga gagal memberi sokongan kerana masing-masing turut menerima nasib sama, kalah teruk dalam PRU14.

Kini, dengan kesediaan Pas untuk menerima UMNO sebagai rakan politik, menguatkan lagi semangat kedua-dua parti itu untuk terus melangkah ke hadapan melawan musuh tradisinya dari PH.

Dari dulu lagi UMNO bukan musuh Pas dan Pas bukan musuh UMNO. Musuh sebenar dua parti Melayu itu ialah DAP, yang mahu membawa Malaysia mengikut acuannya.

Hari ini, mereka sepakat buang yang keruh, dan ambil yang jernih. Agenda utama Pas dan UMNO ialah orang Melayu. Bangsa yang masih memerlukan perhatian untuk maju setanding dengan kaum lain.

Menurut Tuan Ibrahim, kerjasama ini terjalin selepas kerajaan PH gagal menunaikan janjinya ketika kempen PRU14 yang lalu, selain banyak tindakan yang dilakukan kerajaan itu merugikan rakyat dan negara.

“Saya berterima kasih kepada UMNO kerana sudi menghulurkan tangan kerjasama dengan Pas. Saya harap gandingan ini akan melahirkan parti yang kuat dan kukuh untuk merebahkan kerajaan PH,” katanya.

Manakala Ismail Sabri yang jelas nampak gembira dengan kerjasama itu memberitahu, jentera partinya akan turun bersama Pas berkempen habis-habisan untuk memenangi semula hati rakyat.

Katanya, UMNO ikhlas dengan kerjasama itu dan memberi jaminan ia akan terus berkekalan dengan momentum baharu untuk merampas semula kerajaan Persekutuan dari tangan kerajaan PH.

Takiyuddin juga ketika bercakap kepada media di pekarangan Dewan Sivik MBPJ, beberapa kali mengulangi kerjasama Pas, UMNO adalah sejarah.

Beliau jelas tampak gembira dan penuh yakin calon partinya, Dr Halimah akan beroleh kemenangan pada PRK ini.

Warna merah dan hijau juga boleh dilihat mewarnai sepanjang 200 meter laluan yang dikhususkan pihak berkuasa kepada penyokong Pas dan UMNO ketika menunggu tempoh penyerahan kertas pencalonan tamat pada jam 10.30 pagi.

Kibaran bendera Pas dan UMNO yang berselang seli, disambut laungan takbir “Allahuakhbar” dan “Hidup Melayu”, membangkitkan sejarah lama apabila kuasa Melayu bersatu. – MalaysiaGazette